
SERDANG – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengarahkan penganjur MAHA 2024 menyediakan kawasan lebih luas bagi umat Islam menunaikan Solat Jumaat.
Sambil memohon maaf atas kekurangan yang dialami tengah hari tadi, beliau tidak berpuas hati dengan persediaan sekretariat penganjur menyediakan tempat beribadah itu sempena MAHA yang bermula sejak 11 September lalu.
“Bang Mat sangat tak berpuas hati dengan penyediaan tempat solat Jumaat hari ini yang diuruskan oleh pihak Sekretariat MAHA 2024.

“Tadi Bang Mat dah arahkan supaya tempat solat yang lebih besar dan selesa disediakan untuk hari Jumaat depan yang dijangka akan dilimpahi lebih ramai jemaah.
“Kepada jemaah yang terpaksa berpanas tadi, Bang Mat minta maaf sebab hanya mengetahui keadaan ini ketika waktu solat Jumaat hampir masuk dan tidak sempat untuk Bang Mat mengarahkan pihak Sekretariat mengubah tempat solat tadi ke tempat lain.
“Semoga insiden ini menjadi pengajaran kepada pihak Sekretariat MAHA supaya tidak berulang di masa hadapan,” katanya.
Pengunjung difahamkan tidak berpuas hati dengan kawasan solat dipercayai tidak menyangka bilangan jemaah terlalu ramai hingga menjadikan persekitaran beribadah kurang selesa.
Antara langkah yang akan diambil termasuk menyediakan lebih banyak tempat wuduk, tandas dan kemudahan bersesuaian sehingga pameran berakhir 22 September ini.