Home Ekonomi Lawatan ke Lahad Datu jadi inspirasi PM bentang Belanjawan 2025

Lawatan ke Lahad Datu jadi inspirasi PM bentang Belanjawan 2025

45
0
Anwar ketika tiba di SICC bagi merasmikan SIBEC 2024 pada Sabtu. 📸 FB Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU – Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ada pengisian Belanjawan 2025 diinspirasikan daripada lawatan dan pertemuannya dengan rakyat di Lahad Datu, Sabah.

Walaupun input belanjawan disediakan oleh golongan pakar, Perdana Menteri mengakui kebijaksanaan rakyat di kawasan luar bandar tidak boleh dipandang rendah.

Beliau melawat FELDA Sahabat di Lahad Datu, bulan lalu.

Anwar berkata, lawatan itu memberi peluang beliau beramah-mesra dengan murid Sekolah Kebangsaan Lahad Datu FELDA Sahabat, sekali gus menyedari harapan rakyat terhadap kerajaan.

Anwar Ibrahim ketika berkunjung ke FELDA Wilayah Sahabat, Lahad Datu, Sabah. 📸 FB Anwar Ibrahim

Beliau turut menyentuh insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2012 yang mengorbankan nyawa anggota polis berasal dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, melambangkan pengorbanan rakyat melindungi negara.

“Dari mana saya mengumpul semangat dan idea? Lahad Datu. Isu ini berkaitan negara seperti keselamatan, pendidikan berkualiti, kesihatan awam dan infrastruktur asas yang ketinggalan berbanding negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan Kabinet negeri.

Anwar berkata, Sabah yang sebelum ini bergantung kepada hasil industri pembalakan, jauh berkembang pesat menuju industrialisasi, keselamatan makanan dan kini ekonomi lautan biru.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia bertuah kerana berupaya menikmati kemajuan hasil dasar yang baik selepas beberapa tahun dibelenggu kemelut politik, baik di peringkat Persekutuan mahu pun negeri.

“Kita beruntung, selepas beberapa tahun berlaku ketidaktentuan dalam arena politik, kita menemui kestabilan politik dalam dua tahun terakhir.

“Namun, kestabilan politik bukanlah jawapan. Apa yang lebih penting adalah tadbir urus dan pemimpin yang bertanggungjawab.”

Menegaskan beliau berjaya memendekkan proses kelulusan dari setahun kepada 45 hari untuk pembinaan projek perumahan MADANI di pinggir Kuala Lumpur, Anwar menggesa perkara sama dapat dilakukan untuk mempercepatkan projek lain di negara ini.

Menyentuh mengenai ekonomi lautan biru, Anwar berkata, ia akan memberi manfaat kepada Sabah dan negara secara keseluruhannya.

“Tidak akan ada sebarang isu, apa yang diperlukan oleh mana-mana negeri dan komuniti, jika ia adil dan saksama.

“Saya akan terus menyokong tanpa rasa takut atau pilih kasih, ini jelas dilihat dalam belanjawan,” katanya.

Beliau turut meminta golongan pakar terbabit dalam perbincangan bagi menyampaikan, mengambil bahagian dan menyokong usaha menjadikan Sabah kuat dan mampu secara ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here