VLADIVOSTOK – Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vladivostok bermula pada 3 hingga 5 September disifatkan bakal membuka lembaran baharu hubungan antara Malaysia dan Rusia.
Pemerhati politik Faizul Abd Ghani melihat lawatan Anwar bukan sekadar membuka lembaran baharu tetapi juga meneroka peluang pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
“Saya berpendapat lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar lawatan biasa tetapi juga menunujukkan jemputan Presiden Rusia Vladimir Putin ini ke arah pelaksanaan penyertaan Malaysia ke dalam BRICS yang memberi manfaat dalam jangka masa panjang.
“Forum Ekonomi Timur (EEF) yang bakal dihadiri Perdana Menteri menjadi platform terbaik menyuarakan isu global seperti genosid di Gaza serta menangani krisis di Ukraine,” katanya.
Terdahulu Rusia, selaku pengerusi semasa BRICS memberi jaminan kepada Perdana Menteri bahawa ia akan memberikan sokongan kepada aspirasi Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan itu.
Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata, jaminan itu disampaikan kepada Anwar semasa kunjungan hormat Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov di Seri Perdana pada Ahad. Lavrov sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula Sabtu.
Dalam pertemuan itu, kementerian berkenaan berkata, Anwar dan Lavrov membincangkan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Rusia.
Terdahulu media melaporkan Perdana Menteri sebagai berkata, Malaysia telah menghantar permohonan kepada Rusia untuk menyertai BRICS.
Pada 18 Jun, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva. BRICS, yang pada awalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, dan China, ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi baharu muncul, dengan Afrika Selatan menyertai blok itu pada tahun 2010.