
KATA ANDA – Letupan saluran gas di Putra Heights baru-baru ini telah menyebabkan kesan yang mendalam kepada penduduk setempat, termasuk kemusnahan harta benda dan kecederaan.
Dalam menghadapi situasi kecemasan sebegini, langkah segera yang diambil oleh kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyerlahkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan mangsa yang trauma dan bersedih atas insiden berkenaan.
Bantuan yang disalurkan dengan pantas termasuk daripada kerajaan negeri Selangor dan Petronas mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan mangsa terus dibela dengan menempatkan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sejurus selepas insiden berlaku, Perdana Menteri telah mengarahkan agensi berkaitan seperti NADMA, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan untuk segera menyalurkan bantuan awal sebanyak RM5,000 kepada mangsa yang musnah kediaman sepenuhnya dan RM2,500 kepada kediaman musnah sebahagian.
Keutamaan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diberi kepada penyediaan tempat perlindungan sementara, makanan, dan keperluan asas kepada keluarga yang terjejas. Selain itu, sokongan kaunseling susulan trauma dengan kejadian itu amat membantu mereka menangani kesihatan mental.
Tindakan pantas ini bukan sahaja membuktikan keprihatinan kepimpinan negara, tetapi juga memastikan mangsa tidak terabai dalam waktu kesusahan.
Pendekatan inklusif kerajaan dalam menggerakkan pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta, turut mempercepatkan proses bantuan.

Langkah proaktif Perdana Menteri dalam menangani krisis ini menunjukkan bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Kecekapan dalam mengurus bantuan bencana juga menggambarkan kesediaan kerajaan dalam menghadapi sebarang cabaran mendatang.
Justeru, dengan sokongan berterusan akan membantu mangsa melalui proses pemulihan walaupun dijangka memakan masa termasuk penilaian kerosakan dan tuntutan insurans.