Home Nasional Terap konsep manusiawi dalam pembangunan perumahan – PM

Terap konsep manusiawi dalam pembangunan perumahan – PM

10
0
Anwar (tengah) hadir pada majlis perjanjian pembinaan rumah bakat baru Madani di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Projek perumahan dalam negara khususnya rumah mampu milik perlu memenuhi konsep manusiawi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani, Perdana Menteri berkata, mutu perumahan mampu milik perlu memenuhi kemudahan yang boleh memberikan keselesaan kepada rakyat.

“Perumahan bagi rakyat ini yang penting sudah tentu tentang keselesaannya, mutu perumahan itu tetap juga menjadikannya anggota masyarakat dengan kemudahan-kemudahan asas.

“Kalau (perumahan) orang kaya ada kolam yang agak bermutu tinggi sekurang-kurangnya untuk rakyat (di rumah mampu milik) ada kolam yang boleh dimanfaatkan. Sekurang-kurangnya kalau (perumahan) orang kaya ada padang golf, rakyat ada padang permainan.

Anwar ketika berucap semasa menghadiri majlis perjanjian pembinaan rumah bakat baru Madani di ibu negara.

“Kita beri ruang sekadar kita mampu, supaya mereka rasa sebahagian daripada masyarakat dan negara mengiktiraf peranan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyaksikan perjanjian antara Penang Development Corporation (PDC) dan PDC Properties (PDCP) dan SkyWorld hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta para pegawai PDC dan syarikat pemaju.

Anwar berkata, meskipun negara sentiasa mengutamakan pembangunan teknologi namun kebajikan keperluan rakyat dalam pembinaan rumah mampu milik perlu diberi keutamaan.

“Saya singgung soal kemajuan mikrocip, soal kecederdasan buatan (AI) yang tentunya dikuasi golongan mahir tapi tidak ada kejayaan tanpa tukang bersih, tukang masak, technician (juruteknik) dan tukang basuh.

“Sebab itu dalam membicarakan soal pembangunan jangan kita sisihkan keperluan semua elemen ini kerana kalau kita tidak diperingatkan kita akan lupa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, walaupun mengutamakan pertumbuhan ekonomi namun pembangunan rumah khususnya tidak boleh menjadi punca berlaku jurang yang lebih besar antara masyarakat.

“Kita nak pacu pertumbuhan ekonomi tapi kena ingatkan diri kita mesti ada pembangunan manusiawi. Jadi (dalam pembinaan rumah mampu milik) perlu tengok konsep sekolahnya, pendidikannya dan lain lagi,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here