Home Ekonomi Tarif AS dibuat bersandar pada asas yang lemah – PM

Tarif AS dibuat bersandar pada asas yang lemah – PM

15
0
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan April 2025 di Dewan De Seri Endon, PUSPANITAPURI, Putrajaya hari ini. 📸 FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Tarif tambahan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa negara yang berdagang dengannya, dibuat bersandar kepada asas yang lemah, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pengenalannya juga tidak benar-benar dilaksana secara teliti oleh negara kuasa besar itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia tidak boleh memandang ringan pendekatan AS itu, biarpun keputusan diambil negara terbabit dilihat aneh dan dipertikai banyak negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan April 2025 di Dewan De Seri Endon, PUSPANITAPURI, Putrajaya hari ini. 📸 FB Anwar Ibrahim

“Pasca ‘normal time’ kadang-kadang melihatkan beberapa kebijakan politik dan ekonomi yang tidak terjangka. Ini termasuk pengumuman tarif dengan asas yang saya ingat agak lemah dan penentuan tarif diputuskan itu dengan asas yang dipertikai.

“Beberapa negara disebut termasuk pulau yang hanya diduduki penguin. Itu maknanya (keputusan tarif tambahan oleh AS) belum benar-benar teliti.

“Tetapi sebagai sebuah negara, tentunya kita mahu ambil keputusan yang keras, tetapi kebijaksanaan rakan Jemaah Menteri untuk menentukan apa yang diputuskan secara terperinci kerana kenyataan itu umum. Ruang dan perbincangan masih ada,” katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Seri Endon PUSPANITAPURI di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadilah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan April 2025 di Dewan De Seri Endon, PUSPANITAPURI, Putrajaya hari ini. 📸 FB Anwar Ibrahim

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia akan mengambil pendekatan bersama ASEAN dalam mendepani isu tarif tambahan dikenakan AS ini.

“Kita mahu ambil jalan jalur agak sederhana dan tugas saya, Kementerian Luar dan menteri terkait untuk hubungi rakan ASEAN supaya ada pendirian masing-masing. Kita berdiri tegak sebagai suatu kelompok yang besar kerana ASEAN jumlah penduduknya 640 juta, kekuatan ekonomi yang utama di dunia jika digabungkan keseluruhannya.

“Kita gunakan kekuatan supaya ASEAN sebagai satu kelompok berdiri tegak dan mengemukakan pandangan yang menunjukkan ada kesepakatan. Jadi asas perundingan (dengan AS) itu lebih kukuh,” katanya.

Anwar berkata, Khamis ini, Menteri Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menyelaras pertemuan dan mesyuarat bersama menteri perdagangan serta ekonomi ASEAN dalam merangka dan menyatakan pendiriannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini. 📸 FB Anwar Ibrahim

“Kita harus lebih siap siaga. Dari segi fundamental ekonomi kita jauh lebih baik. Angka (pertumbuhan ekonomi) yang diumumkan sebelum ini meyakinkan, tetapi ada beberapa perkembangan yang luar jangkaan dan ini termasuk berkenaan tarif.

“Eksport kita ke AS tinggi. Eksport semikonduktor saja mungkin mencecah AS$100 bilion. Itu 65 peratus daripada seluruh pengeluaran semikonduktor (negara).

“Hubungan dagang AS masih di antara tertinggi, bersaing dengan China dan baru-baru ini Jerman. Ini menyebabkan kita ambil kira sebarang kemungkinan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here