Home Nasional Sarawak terima manfaat lebih RM250 bilion sejak 1976 – PM

Sarawak terima manfaat lebih RM250 bilion sejak 1976 – PM

17
0
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 📸 Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan Sarawak menikmati peruntukan bernilai lebih RM250 billion, hasil perolehan pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak sejak 1976.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk pelaburan huluan lebih RM90 bilion nilai kontrak sepanjang 10 tahun lalu iaitu 2014 hingga 2024.

Tambahnya, syarikat vendor berdaftar dari Sarawak pula telah memperoleh kontrak bernilai lebih RM40 bilion dalam tempoh yang sama.

“Daripada segi pulangan kewangan, Sarawak telah memperolehi bayaran tunai sebanyak RM49 bilion sehingga Disember 2024, bayaran cukai jualan RM18.66 bilion sehingga suku ketiga 2024, dividen sebanyak RM28.6 bilion sehingga Disember 2024 telah diperolehi melalui pegangan saham State Financial Secretary (SFS) Sarawak dalam syarikat kumpulan MLNG.

“SFS Merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah State Financial Secretary Incorporated Ordinance 1948,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut memaklumkan PETRONAS telah melabur lebih RM600 juta dalam usaha pembangunan modal insan di Sarawak, termasuk pemberian biasiswa dan peluang latihan kepada lebih 680,000 warga Sarawak.

Jelas beliau yang juga Menteri Kewangan, PETRONAS juga memberi peluang pekerjaan kepada lebih 4,300 warga Sarawak.

Beliau menambah, hasil mahsul yang besar ini telah memperkukuhkan ekonomi negara dan memastikan pertumbuhan negara terus berkembang.

Menurut Perdana Menteri, kerjasama erat antara kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan adalah kunci kejayaan berkenaan.

Atas dasar itu, kerajaan telah memilih untuk memberi penyesuaian dan pengiktirafan kepada PETROS bagi terus menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Pada akhir kenyataannya, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada rakan di PETRONAS, Jemaah Menteri, Premier Sarawak dan kerajaan negeri Sarawak atas kerjasama yang diberikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here