Home Ekonomi Sambut 1 Syawal penuh kesederhanaan – PM

Sambut 1 Syawal penuh kesederhanaan – PM

3
0
Anwar meninjau suasana reruai jualan di Absolut Bazaar X Festival Gaya di MITEC pada 13 Mac 2026. 📷 FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kehangatan suasana persiapan menjelang Syawal turut dirasai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau sempat meninjau suasana jualan di Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya di MITEC selepas selesai lawatan kerja di Kuching, Sarawak.

Anwar berkata, kunjungan itu memberinya peluang menyantuni para peniaga dan pengunjung yang hadir bagi membuat persiapan Aidilfitri, selain bertanya khabar serta mendengar pandangan mereka mengenai harga dan sambutan terhadap produk yang ditawarkan.

“Kesempatan yang ada ini saya gunakan dengan menyantuni para peniaga dan pengunjung, bertanya khabar serta mendengar pandangan mereka mengenai harga dan sambutan terhadap produk yang ditawarkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar meninjau suasana reruai jualan di Absolut Bazaar X Festival Gaya di MITEC pada 13 Mac 2026. 📷 FB Anwar Ibrahim

Beliau berkata, sambutan Syawal seharusnya diraikan dengan penuh kesederhanaan dan keseimbangan sambil menghayati makna sebenar hari kemenangan yang menekankan nilai kesyukuran, kebersamaan serta keprihatinan sesama masyarakat.

Katanya, terbit rasa bangga melihat pelbagai produk serta jenama tempatan yang dipamerkan, merangkumi pakaian, makanan, aksesori, juadah dan cenderamata hasil kreativiti usahawan tempatan.

“Inisiatif seperti festival tersebut bukan sahaja membantu memperkenalkan produk tempatan, malah menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana sekali gus merancakkan ekonomi negara.

Anwar meninjau suasana reruai jualan di Absolut Bazaar X Festival Gaya di MITEC pada 13 Mac 2026. 📷 FB Anwar Ibrahim

“Semoga kehadiran Syawal kelak membawa keberkatan, mempererat ukhuwah dan menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat,” ujarnya.