KUALA LUMPUR – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menggesa supaya aspek kemanusiaan dalam sistem kewangan dipulihkan, di samping menekankan kepentingan dalam mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan penjagaan alam sekitar dan keterangkuman sosial.
Berucap di persidangan SC-OCIS Roundtable ke-15 di Oxford Centre for Islamic Studies, United Kingdom bertajuk ‘Restoring Humanity in Finance’, baginda menekankan keperluan kritikal bagi sistem kewangan untuk mengutamakan kesejahteraan manusia dan planet ini.
“Memulihkan kemanusiaan dalam kewangan bermakna matlamat utama pertumbuhan ekonomi sebelum ini mesti diimbangi dengan lebih berhati-hati, dengan matlamat penjagaan alam sekitar dan keterangkuman sosial.
“Ini bermakna usaha mencari keuntungan mesti disertai dengan pengiktirafan tanggungjawab kolektif untuk melindungi alam sekitar kita, dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat secara amnya,” titah baginda dalam ucapan khasnya semasa persidangan.
Sultan Nazrin yang merupakan penyokong kuat kewangan Islam bertitah, kewangan Islam dengan prinsipnya yang berakar umbi dalam Maqasid al-Shariah, menekankan bukan sahaja pematuhan kepada undang-undang Islam tetapi juga objektif etika yang lebih luas untuk mengelakkan bahaya dan mempromosikan kebaikan sosial.
“Kewangan Islam sentiasa menyokong perkongsian risiko dan bukannya pemindahan risiko kerana ia memupuk keadilan melalui keuntungan dan liabiliti yang berkadar,” titah baginda.
Sultan Nazrin mengambil contoh krisis kewangan global sebagai satu tempoh yang menyaksikan institusi kewangan Islam berupaya mengharunginya dengan baik disebabkan model perkongsian risiko mereka yang lebih stabil.
Baginda turut menyentuh krisis alam sekitar yang semakin pantas, pandemik, dan lonjakan kesusahan sosial serta ketegangan geopolitik, yang merupakan antara unsur-unsur yang dikenali sebagai ‘polikrisis’ kontemporari.
“Dengan peperangan yang bergelora di Gaza, di Ukraine dan di tempat lain, dengan pemindahan paksa serta korban awam yang semakin meningkat di seluruh dunia, dengan jurang antara yang terkaya dan termiskin semakin melebar dengan pantas, nampaknya kita menyaksikan tidak kurang daripada aspek kemanusiaan itu sendiri yang berada dalam krisis.
“Kita mesti segera mengarahkan semua usaha kita, semua kepakaran dan kemahiran kita, ke arah menjadikan komuniti global kita lebih baik dan lebih berperikemanusiaan,” titah Sultan Nazrin.
Sultan Nazrin seterusnya menekankan kepentingan piawaian ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus) dalam memastikan perniagaan bertanggungjawab terhadap kesannya yang lebih luas kepada alam sekitar dan masyarakat.
“Pematuhan ESG membantu mengukuhkan akauntabiliti, bukan sahaja kepada pemain utama, tetapi juga kepada pihak berkepentingan secara lebih luas,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan kewangan Islam yang semakin meningkat dalam pasaran global, dengan megatakan bahawa industri itu telah berkembang 10 peratus setiap tahun antara 2013 dan 2023, dengan unjuran mencecah US$6.67 trilion menjelang 2027.
“Walaupun perkembangannya sangat dialu-alukan, segmen pasaran ini kekal sebagai sebahagian kecil daripada pelaburan modal keseluruhan,” titah baginda.
Sultan Nazrin dalam menggesa supaya sektor kewangan global belajar daripada asas etika kewangan Islam bertitah “Harapan saya yang lebih besar ialah semua institusi kewangan akan menyerap sesuatu daripada semangat kewangan Islam, dalam perjalanan untuk memulihkan kemanusiaan dalam sektor itu”.
“Pada masa ini, kelompok satu peratus golongan terkaya di planet ini memiliki hampir separuh daripada kekayaan global, manakala hampir seorang daripada 10 penduduk dunia ini hidup dalam kemiskinan yang melampau. Hari ini marilah kita bersama-sama mencari jalan menangani ketidakseimbangan itu, memulihkan aspek kemanusiaan dalam kewangan, untuk masa depan yang lebih adil dan makmur untuk semua,” titah baginda.