Home Global PRU Singapura: Calon SDP gesa rakyat jadi ‘petugas barisan hadapan’

PRU Singapura: Calon SDP gesa rakyat jadi ‘petugas barisan hadapan’

42
0
Ariffin Sha menyeru orang ramai mendaftar sebagai ejen pengundian dan ejen pengiraan undi bagi Pilihan Raya Umum (PRU2025) Singapura akan datang.

SINGAPURA – Calon Parti Demokratik Singapura (SDP) Ariffin Sha menyeru orang ramai mendaftar sebagai ejen pengundian dan ejen pengiraan undi bagi Pilihan Raya Umum (PRU2025) Singapura akan datang.

Beliau menyifatkan peranan itu sebagai ‘kerusi barisan hadapan’ dalam proses demokrasi negara.

Dalam ucapan kempennya pada Selasa, calon berusia 27 tahun itu menggalakkan mereka yang masih belum layak mengundi supaya tetap menyumbang dalam proses pilihan raya.

Umur kelayakan mengundi di Singapura ialah 21 tahun.

Penyokong Parti Progresif Singapura (PSP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) menyokong calon mereka ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU2025) Singapura. 📸 REUTERS

“Pada 2015, saya sebenarnya masih terlalu muda untuk mengundi, tetapi saya cukup umur untuk menjadi ejen pengundian dan ejen pengiraan undi.

Dalam ceramah semalam, saya lihat ramai anak muda tampil ke hadapan – ramai dalam kalangan mereka di bawah umur 21 – dan mereka tanya, ‘bagaimana saya boleh terlibat?’

“Saya kata, daftarlah untuk menjadi ejen pengundian dan ejen pengiraan undi,” katanya.

Ariffin berkata SDP memerlukan kira-kira 770 ejen pengundian dan sedikit kurang daripada jumlah itu untuk ejen pengiraan undi bagi merangkumi empat kawasan pilihan raya yang ditandingi parti itu dalam PRU2025.

Ini adalah Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee, GRC Sembawang, Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Panjang dan SMC Sembawang West.

Parti pembangkang itu menurunkan 11 calon di keempat-empat kawasan terbabit.

Tambah beliau, setakat ini parti itu hanya mempunyai kira-kira 10 peratus daripada jumlah sukarelawan yang diperlukan bagi peranan tersebut.

Ariffin, yang bertanding buat kali pertama di GRC Marsiling-Yew Tee, turut menggesa para pengundi supaya tidak takut untuk mengundi.

“Tak kira sama ada anda penjawat awam atau siapa pun – undi anda adalah 100 peratus rahsia,” katanya.

Menurut garis panduan Jabatan Pilihan Raya (ELD), ejen pengundian dibenarkan memerhati proses melekatkan pita penutup pada kotak undi oleh pegawai pilihan raya, memantau proses pengundian di pusat-pusat mengundi.

Mereka juga boleh menyaksikan proses melekatkan pita penutup dan pembungkusan bahan pilihan raya ke dalam sampul dan beg.

Ejen pengiraan undi pula antara lain dibenarkan hadir di pusat pengiraan bagi memerhati ujian pra pengiraan mesin pengiraan undi serta memeriksa dan memastikan meteri (sealed) pada kotak undi tidak diusik sebelum ia dibuka untuk pengiraan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here