Home Politik PRN Sabah: Hanya logo PKR atau PH akan diguna

PRN Sabah: Hanya logo PKR atau PH akan diguna

31
0
PKR Sabah kekal guna logo sendiri atau PH kata Razeef semasa sidang akhbar PKR Sabah. 📸 Suraidah

KOTA KINABALU – PKR Sabah hanya menggunakan logo sendiri atau logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata PKR tidak akan menggunakan logo parti lain termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti dicadang beberapa pemimpin gabungan itu sebelum ini.

Katanya, keputusan itu jelas dan sudah diamalkan pada PRN sebelum ini yang menyaksikan ada rakan parti dalam gabungan disertai menggunakan logo berlainan.

“Bagi kami hanya logo PKR atau PH yang akan digunakan. Kita tiada kena-mengena dengan keputusan GRS untuk menggunakan hanya satu lambang walaupun kita bekerjasama dengan mereka nanti.

“Laporan dibuat media sebelum ini mengenai kenyataan Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew yang mengatakan PKR atau PH sedia menimbangkan penggunaan logo GRS adalah tidak tepat.

“Bagaimanapun, kita menghormati keputusan GRS menggunakan logo mereka sendiri pada PRN nanti,” katanya pada sidang media PKR Sabah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan supaya parti nasional yang bekerjasama dengan GRS pada PRN17 Sabah nanti menggunakan logo GRS ketika bertanding.

Sementara itu, Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, mengulangi pendirian PKR mengenai kedudukan parti itu sebagai parti nasional yang ditubuhkan serentak di seluruh negara pada 4 April 1999.

Beliau berkata, istilah parti Malaya untuk merujuk parti nasional, khususnya PKR adalah tidak tepat, memandangkan ia ada di setiap negeri sejak ditubuhkan dan hanya dianggotai rakyat negeri terbabit.

“Kecuali jika parti itu ditubuh dan berkembang di Semenanjung sebelum ini dan sesudah itu barulah melebarkan sayap ke Sabah, maka itu berbeza.

“Namun, bagi PKR ia diwujudkan serentak di seluruh negara pada 1999. Pada masa itu juga PKR sudah ada di Sabah,” katanya.

Katanya, PKR Sabah menghargai kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS baru-baru ini yang menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan PH pada PRN17.

Beliau berkata, kenyataan pemimpin GRS yang lain seperti Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengenai cadangan supaya hanya parti negeri saja bertanding pada PRN nanti, hanyalah pandangan peribadi mereka dan tidak mewakili GRS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here