Home Nasional PM rasmi Pesta Kaamatan 2025 di KDCA hari ini

PM rasmi Pesta Kaamatan 2025 di KDCA hari ini

27
0
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Sambutan Pesta Kaamatan di Dewan KDCA Penampang, Sabah yang menampilkan kepelbagaian dan keunikan kebudayaan suku kaum di negeri ini. 📸 FB Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 hari ini.

Beliau tiba jam 9.30 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu disambut Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan pemimpin negeri lain.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, kehadiran Perdana Menteri sekaligus merasmikan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.

“Manakala penutupan rasmi sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri pula akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada 31 Mei.

“Tujuan kunjungan kami kepada Tun Musa adalah untuk memberi taklimat mengenai majlis penutupan Kaamatan serta aktiviti dan program yang akan berlangsung pada hari tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu pada Isnin.

Jeffrey berkata, antara acara utama termasuk persembahan kebudayaan, lawatan ke rumah-rumah tradisi di Pusat Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) serta pertandingan Unduk Ngadau yang akan berlangsung pada sebelah petang.

Dalam pada itu, dengan tema Kaamatan kali ini, “Kaamatan Untuk Semua”, Jeffrey berharap sambutan tahun ini akan berjalan lancar dan lebih meriah dengan kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara.

Katanya, sambutan berkenaan turut menerima kehadiran pelawat dari luar negara termasuk Kalimantan, selain jemputan kepada para duta dan pelabur.

“Kaamatan merupakan platform penting untuk menggerakkan ekonomi Sabah. Sebab itu kerajaan memberi peruntukan besar untuk menjayakan pelbagai aktiviti bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Sarawak dan Semenanjung.

“Sambutan Kaamatan kini menjadi festival peringkat kebangsaan dan memberi impak besar kepada sektor ekonomi serta pelancongan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here