KATA ANDA – Sejak mengambil alih teraju kerajaan dua tahun lalu, pelan pemulihan ekonomi di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat berada di landasan yang tepat dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Mengimbau kembali peluncuran agenda Malaysia MADANI pada 19 Januari 2023, Anwar telah memperkenalkan beberapa langkah strategik yang berfokuskan kepada pemulihan pasca-pandemik, pengurangan jurang ketidaksamaan ekonomi, dan pengukuhan daya saing negara di peringkat antarabangsa.
Antara inisiatif utama beliau adalah memperkukuh sektor domestik melalui pelaburan dalam infrastruktur, pendidikan, dan teknologi digital serta menambah keupayaan melaksana kerangka Ekonomi Madani yang diluncurkan pada Julai tahun lalu.
Pelaburan signifikan ini bertujuan untuk mencipta peluang pekerjaan yang berkualiti dengan tangga gaji bermaruah sekali gus memastikan ekonomi negara lebih inklusif serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Anwar juga memberi penekanan kepada sektor tenaga hijau (GE) dan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebagai tumpuan masa depan bagi memastikan Malaysia menjadi peneraju terkemuka dalam trend ekonomi global yang semakin mengutamakan kelestarian alam sekitar.
Selain itu, usaha kerajaan untuk mengurangkan ketergantungan terhadap sektor eksport tradisional dan memperkukuh sektor perkhidmatan, terutamanya dalam bidang kewangan, pelaburan dan pelancongan, menunjukkan komitmen Anwar terhadap pendigitalan ekonomi negara.
Di samping itu, pelaksanaan pembaharuan struktur cukai dan pemberian insentif sebagai galakkan kepada pelabur juga meningkatkan keyakinan terhadap kestabilan ekonomi Malaysia.
Menjelang kepengerusian ASEAN 2025, pelan pemulihan ekonomi di bawah Anwar diharap dapat memperkukuh peranan Malaysia dalam kerjasama serantau, terutamanya dalam aspek perdagangan dan keselamatan ekonomi.
Dengan menekankan tata kelola dan membasmi rasuah sebagai agenda pemerkasaan pentadbiran yang jelas, dasar-dasar ini berpotensi mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan memastikan Malaysia muncul sebagai pemacu ekonomi utama di rantau Asia Tenggara selain Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia.
Dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi bagi sembilan bulan pertama tahun ini melebihi 5.2 peratus, jawapan kepada pengkritik beliau tentunya membuatkan mereka hilang punca mencari titik kesalahan walau sebesar zarah sekalipun.
Biarpun masih banyak kerja yang perlu dilakukan, hakikatnya tiada siapa dapat menafikan perjalanan pentadbiran Kerajaan Madani berjaya memulihkan keyakinan komuniti antarabangsa termasuk pelabur serata dunia masuk meneroka peluang yang ditawarkan pasukan Anwar.
– Penulis merupakan penganalisis politik tempatan meneliti perkembangan pemulihan ekonomi negara