Home Ekonomi Mubadala, Masdar minat melabur di JS-SEZ

Mubadala, Masdar minat melabur di JS-SEZ

18
0
Mubadala turut melabur sebanyak RM1.64 bilion (AS$350 juta) dalam Princeton Digital Group, sebuah pusat data terkemuka di Asia, yang turut membangunkan pusat data AI mereka di Sedenak, Johor.

JOHOR BAHRU – Mubadala dan Masdar, dua syarikat terkemuka Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyatakan minat melabur di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia susulan pertemuan dengan dua syarikat berkenaan ketika lawatan kerja Kerajaan Johor ke Abu Dhabi, bagi menarik pelabur ke negeri ini.

Katanya, Mubadala adalah sebuah entiti pelaburan milik Kerajaan Abu Dhabi manakala Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar), syarikat tenaga boleh diperbaharui dari Abu Dhabi, UAE.

Beliau berkata, Mubadala turut melabur sebanyak RM1.64 bilion (AS$350 juta) dalam Princeton Digital Group, sebuah pusat data terkemuka di Asia, yang turut membangunkan pusat data AI mereka di Sedenak, Johor.

“Dalam lawatan kerja ke Abu Dhabi bersama delegasi Kerajaan Johor, kami berpeluang berjumpa dengan Mubadala Investment Company dan Masdar.

“Menerusi perjumpaan ini, saya telah berkongsi peluang pelaburan utama di negeri ini melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi menyokong agenda pembangunan Johor sebagai sebuah kuasa ekonomi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah, Mubadala dan Masdar menaruh keyakinan dan persediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Johor. Semoga segala usaha dan pertemuan ini mampu membuahkan hasil dan memberi limpahan ekonomi buat negeri dan Bangsa Johor, bagi merealisasikan hasrat Johor menjadi negeri maju menjelang 2030.

“Perjumpaan bersama syarikat-syarikat ini penting khususnya dalam membincangkan potensi kerjasama yang strategik dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan teknologi buatan (AI) di mana Johor berpotensi menerima pelaburan besar dalam pembangunan industri masa depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

JS-SEZ bakal dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang membabitkan keluasan 3,505 kilometer persegi.

Sebanyak 16 sektor ekonomi bakal dibangunkan di zon ekonomi berkenaan membabitkan sektor elektrik dan elektronik; perubatan; farmaseutikal; penerbangan, kimia khusus; logistik kesihatan dan pendidikan selain sektor kewangan dan perkhidmatan perniagaan; tenaga; ekonomi digital; pelancongan; makanan; teknologi pertanian; industri kreatif; industri Halal dan perkilangan.

Cadangan membangunkan zon ekonomi khas itu sebelum ini dilaporkan mampu menjadikan Johor seperti bandar raya Shenzhen di China, yang berkembang maju selepas empat dekad menjadi zon ekonomi khas.

Memorandum persefahaman antara Malaysia dan Singapura berhubung pembangunan JS-SEZ telah ditandatangani pada 11 Januari lalu ketika lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya ketika itu, Lee Hsien Loong, ke bandar raya ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here