Home Nasional Mangsa syukur dapat bantuan, harap PM bantu beri penempatan sementara

Mangsa syukur dapat bantuan, harap PM bantu beri penempatan sementara

25
0
Anwar ketika melawat kawasan kejadian letupan saluran gas yang memusnahkan kediaman di Taman Putra Harmoni pada Selasa. 📸 FB Anwar Ibrahim

SUBANG – Majoriti penghuni yang terjejas dengan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights memohon supaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat memberi penempatan sementara kepada mereka selain bantuan kewangan yang telah diumumkan.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Francis Koh, ini kerana status keselamatan rumah mereka sama ada selamat untuk diduduki atau sebaliknya masih membimbangkan penduduk manakala kos penginapan hotel yang mahal terpaksa ditanggung.

“Kami hanya mahukan rumah sementara untuk berteduh sementara menunggu rumah kami yang terjejas selamat diduduki kerana buat masa sekarang, kami menginap di hotel berdekatan dan kosnya agak mahal untuk jangka panjang.

“Oleh itu, kami sangat mengharapkan agar kerajaan negeri dapat memberikan rumah sementara kepada kami dalam tempoh yang sukar ini,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang bantuan sama ada dari kerajaan pusat, negeri ataupun swasta bagi meringankan beban mereka akibat kerosakan harta benda dan kediaman susulan insiden kebakaran itu.

Terdahulu pada Isnin, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan dan Petronas menyalurkan bantuan segera RM5,000 kepada pemilik kediaman yang rosak teruk serta RM2,500 kepada mereka yang sedikit terjejas.

Manakala bantuan lain yang wajar diberikan akan disalur mengikut perbincangan bersama agensi terbabit seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Pengumuman hanya dibuat menerusi media namun cara permohonan dan siapa yang layak mendapatkannya kami masih lagi keliru… ramai di sini juga perlukan bantuan dan mahu pulang ke rumah masing-masing namun masih lagi tidak selamat,” katanya.

Bagi Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Woo Wan Heng, pampasan sewajarnya harus diberikan kepada mangsa kebakaran yang rumah mereka sudah tidak boleh didiami susulan insiden itu.

“Kerugian itu bukan sedikit tetapi besar. Bukan setakat rumah tidak boleh diduduki, kereta turut rosak… kami tidak boleh hantar anak-anak ke sekolah dan sukar pergi kerja disebabkan kekangan itu.

Penduduk Jalan Putra Harmoni 1/3 yang terjejas akibat kebakaran menunggu giliran untuk pulang ke kediaman masing-masing bagi mendapatkan barangan keperluan dan dokumen penting. 📸 Bernama

“Kami berharap agar kerajaan negeri dan pusat dapat memberikan bantuan sewajarnya bukan setakat dari segi kewangan sahaja tetapi juga dari segi sokongan lain seperti insurans,” katanya.

Seorang penduduk, Tengku Sharifah Hajar Tengku Syed Nordin, 72, pula berkata, dia sekeluarga bersyukur dengan bantuan segera yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekurang-kurangnya bantuan yang diberikan dapat meringankan beban kami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here