KUALA LUMPUR – Malaysia komited terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dan berdiri teguh bersama Turkiye dalam mempertahankan hak serta maruah mereka.
Menerusi satu panggilan telefon bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan kepada pemimpin itu atas suara dan pendirian teguh yang konsisten dalam memperjuangkan suara warga Palestin yang tertindas.
“Kami sepakat bahawa saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza, kita tidak boleh berpeluk tubuh.
“Malaysia tentunya menyambut baik dan mendukung penuh pendirian Presiden Erdogan untuk menggunakan segala wahana dan keupayaan yang ada bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin,” menurut Anwar menerusi hantaran di Facebook.
Panggilan telefon berkenaan dibuat oleh Erdogan bagi menyampaikan salamnya kepada Anwar sempena Aidiladha.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyifatkan kunjungan rasmi Erdogan ke Malaysia baru-baru ini antara lawatan paling berjaya dan bermakna dalam sejarah diplomatik negara.
Beliau menyifatkan lawatan itu memperkukuh asas hubungan dua hala yang telah lama terjalin.
“la antara lawatan paling berjaya dan bermakna dalam sejarah diplomatik negara, tidak sekadar pertukaran protokol tetapi turut disulami dengan rundingan yang substantif yang menyentuh kepentingan bersama.
“Saya melihat kunjungan ini sebagai manifestasi keserasian nilai dan hala tuju yang jitu kedua dua negara dalam menjunjung keadilan, kedaulatan dan pembangunan umat sejagat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia beriltizam untuk terus bekerjasama rapat dengan Turkiye, terutamanya dalam membentuk satu kesatuan strategik yang mampu membawa suara umat ke tengah pentas dunia.
“Dalam semangat Aidiladha, pengorbanan, keteguhan dan keyakinan terhadap seruan llahi Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan,” maklum kenyataan itu.