Home Global Mahkamah kekalkan pemecatan presiden Korea Selatan

Mahkamah kekalkan pemecatan presiden Korea Selatan

43
0
Penyokong Presiden Korea Selatan yang digulingkan, Yoon Suk-yeol, memegang sepanduk tertera gambarnya semasa perhimpunan di sebuah jalan di Seoul, Korea Selatan. 📸 AFP

SEOUL – Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan pada hari ini mengekalkan keputusan memecat Presiden Yoon Suk-yeol berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang mencetuskan huru-hara di negara itu.

Ia sebulat suara mengundi untuk melucutkan jawatan Suk-yeol kerana beliau didapati melanggar Perlembagaan.

Suk-yeol, 64, digantung tugas oleh Parlimen berhubung percubaannya pada 3 Disember tahun lalu untuk menumbangkan pemerintahan awam, yang menyaksikan askar bersenjata dikerahkan ke Parlimen.

Beliau juga ditahan atas tuduhan melakukan pemberontakan sebagai sebahagian daripada kes jenayah berasingan.

Orang ramai menonton keputusan Mahkamah Perlembagaan mengenai pemecatan Suk-yeol di skrin besar di Seoul hari ini. 📸 AFP

“Mengambil kira kesan negatif yang serius dan akibat meluas daripada pelanggaran Perlembagaan responden, (kami) memecat Presiden Yoon Suk-yeol,” kata pemangku Presiden mahkamah tersebut, Moon Hyung-bae.

Keputusan itu sebulat suara oleh semua lapan hakim mahkamah, yang telah diberi perlindungan keselamatan tambahan oleh polis ekoran ketegangan meningkat ketika penyokong-penyokong Suk-yeol berhimpun di jalanan.

“Tindakan Suk-yeol melanggar prinsip teras kedaulatan undang-undang dan tadbir urus demokrasi.

“Ia sekali gus menjejaskan perintah Perlembagaan itu sendiri dan menimbulkan ancaman besar kepada kestabilan republik demokratik,” kata hakim dalam keputusan mereka.

“Beliau mengerahkan tentera untuk tujuan politik, menyebabkan askar yang berkhidmat untuk negara dengan misi memastikan keselamatan negara serta mempertahankan negara terpaksa menghadapi rakyat biasa,” tambahnya.

Sementara itu, penunjuk perasaan anti-Suk-yeol menangis dan bersorak kegembiraan ketika keputusan itu diumumkan, namun penyokong-penyokong beliau menjerit, mengeluarkan kata-kata kesat serta menangis mendengar keputusan mahkamah. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here