
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan khidmat Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz masih lagi diperlukan sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana beliau telah menjalankan tugas dengan baik.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, isu keputusan Tengku Zafrul keluar UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum diperbincangkan oleh pihak terlibat.
“Kita belum bincang apa-apa pun sebab dia menunaikan ibadat haji, maka biar dulu.
“Tengku Zafrul menjalankan tugas dengan baik. Pelaburan kita ratusan bilion banyak juga dikendalikan dengan usaha beliau, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), MITI dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di ibu negara hari ini.
Oleh itu, Anwar mengingatkan semua pihak supaya menghormati keputusan Tengku Zafrul dan tidak membuat pelbagai tafsiran tidak sihat.
Tengku Zafrul sebelum ini mengumumkan beliau meletakkan semua jawatan dan keahliannya dalam UMNO dan memohon untuk menyertai PKR.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah menerima surat rasmi peletakan jawatan Tengku Zafrul.