Home Nasional Kerajaan hantar 2 pasukan bantu Myanmar terjejas gempa bumi

Kerajaan hantar 2 pasukan bantu Myanmar terjejas gempa bumi

13
0
Penghuni bangunan tinggi di Bangkok bergegas keluar sebaik gempa bumi melanda Myanmar dengan kekuatan magnitud 7.7 pada Jumaat. 📸 Reuters

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menghantar dua pasukan ke Yangon bagi menyokong Myanmar yang baru-baru ini dilanda gempa bumi yang mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar.

Wisma Putra berkata, satu pasukan 10 anggota akan dihantar hari ini bagi memberikan bantuan teknikal dan menjalankan penilaian keperluan untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana yang sedang dilaksanakan, dan satu lagi pasukan 40 anggota akan dihantar esok.

“Berdasarkan dapatan pasukan penilaian awal ini, satu lagi pasukan Nadma melibatkan 40 anggota dijadualkan berlepas pada Ahad, 30 Mac (esok),” kata Wisma Putra dalam kenyataan.

“Pasukan ini akan memberi tumpuan kepada kawasan keutamaan yang dikenal pasti dalam penilaian awal, bagi memastikan bantuan Malaysia disalurkan secara tepat, relevan dan responsif terhadap keadaan semasa.”

Gempa bumi semalam dilaporkan mengorbankan lebih 150 orang di Myanmar dan Thailand, manakala ratusan lain cedera dan puluhan terperangkap dalam bangunan runtuh. 📸 AP

Tambahnya, Kementerian Luar sedang menyelaras segala keperluan visa dan logistik bagi misi ini, dan operasi pasukan-pasukan tersebut akan disokong oleh Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, termasuk membabitkan penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan.

Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaan Malaysia menyokong segala usaha bantuan dan pemulihan susulan gempa bumi yang melanda kawasan tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China itu, sebagai tanda solidariti bersama negara jiran Asean.

Komitmen itu diulangi Menteri Luar Mohamad Hasan yang menegaskan bahawa Asean bersedia membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana menerusi Pusat Penyelarasan Asean bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana agar bantuan kemanusiaan disampaikan dengan segera, tepat dan berkesan.

“Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap kerjasama serantau dan akan terus menyumbang secara bermakna kepada usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di seluruh Asean,” kata Wisma Putra.

Terdahulu dilaporkan gempa bumi kuat dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10km semalam, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), yang turut dirasakan di Thailand. Gempa susulan dengan magnitud 6.4 berlaku beberapa minit kemudian.

Susulan kejadian itu, darurat diisytiharkan di wilayah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur dan ibu negara Naypyidaw, di Myanmar sementara pihak berkuasa terus menilai tahap kerosakan.

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra turut mengisytiharkan darurat di Bangkok.

Gempa bumi itu dilaporkan mengorbankan lebih 150 orang di Myanmar dan Thailand, manakala ratusan lain cedera dan puluhan terperangkap dalam bangunan runtuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here