Home Ekonomi Kepengerusian ASEAN 2025 lonjak Malaysia sebagai destinasi perdagangan – PM

Kepengerusian ASEAN 2025 lonjak Malaysia sebagai destinasi perdagangan – PM

28
0
Anwar bersama Ahmad Zahid dan Fadillah hadir pada permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di Bangi pada Sabtu. 📸 FB Anwar Ibrahim

BANGI – Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 mampu melonjakkan keupayaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berkata, beberapa sektor strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data serta pengukuhan tenaga baharu, pertanian dan teknologi makanan akan diberi tumpuan dalam usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam sidang media selepas Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan Kepengerusian ASEAN-Malaysia dan komitmen tinggi semua pihak dalam menjayakannya.

Anwar bersama Ahmad Zahid, Fadillah dan jemaah menteri hadir pada permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di Bangi pada Sabtu. 📸 FB Anwar Ibrahim

Beliau turut mendedahkan bahawa dalam mesyuarat minggu lalu, beberapa cadangan sudah dibentangkan bagi memastikan kerajaan mampu memberikan yang terbaik sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat global.

Anwar berkata sebagai negara dagang, Malaysia harus mengambil peluang Kepengerusian ASEAN untuk meningkatkan lagi usaha dagang berikutan sidang ASEAN kali ini merupakan pertemuan pertama yang melibatkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

Katanya, permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di sini, yang berlangsung dua hari sejak semalam menjadi platform bagi perbincangan terperinci mengenai hala tuju Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“(Dalam sesi pemukiman ini), kita menentukan hala tuju sebagai Pengerusi ASEAN dan tingkatkan keupayaan, tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pelancongan dan perdagangan dalam pelbagai bidang.

“Mengenai persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, dua perkara yang dititikberatkan adalah menampilkan imej terbaik negara dan mengambil kesempatan berharga ini untuk meningkatkan urusan dagang.

“Persiapan sangat rapi, saya bangga dengan komitmen semua pihak. Inilah sidang ASEAN pertama membabitkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

“Kemudian ada usul supaya diadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) secara berasingan,” katanya yang turut memaklumkan pemimpin dunia antaranya Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa turut menyatakan sokongan terhadap Kepengerusian ASEAN-Malaysia di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Presiden Afrika Selatan itu juga akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dalam masa terdekat.

Di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here