HELSINKI – Dua ekor panda gergasi yang dipinjamkan kerajaan China ke Finland terpaksa dipulangkan semula lapan tahun lebih awal akibat masalah kewangan.
Pengerusi Lembaga Zoo Ahtari, Risto Sivonen berkata, kedua-dua panda itu dijadualkan untuk pulang selepas 15 tahun namun ketidakstabilan ekonomi memaksa mereka untuk memulangkan lebih awal.
Oleh sebab itu, dua panda gergasi bernama Jin Bao Bao (Lumi dalam bahasa Finland atau Snow) dan Hua Bao (Pyry atau Blizzard) yang ditempatkan di situ sejak tahun 2018 akan dipulangkan akhir tahun ini.
“Kos untuk rumah panda sahaja adalah 8.5 juta euro (RM39.7 juta) manakala kos tahunan penjagaan panda adalah 1.5 juta euro (RM6.9 juta).
“Pengurangan jumlah pengunjung selepas pandemik Covid-19 serta kadar faedah dan inflasi yang tinggi susulan perang Rusia di Ukraine telah mendatangkan implikasi kepada kewangan kami.
“Perjanjian untuk memulangkan pasangan panda itu juga telag dicapai dengan rakan kongsi zoo terbabit di China pada 20 September lalu,” katanya.
Kedua-kedua panda itu juga dikatakan berada dalam kondisi sangat baik dan akan dikuarantinkan sekurang-kurangnya sebulan sebelum dipulangkan.
Perjanjian untuk meminjam Jin Bao Bao dan Hua Bao telah dimeterai semasa lawatan Presiden China, Xi Jinping pada tahun 2017.
Kini dianggarkan sebanyak 1,860 panda gergasi masih tinggal di alam liar terutamanya di kawasan hutan buluh di pergunungan China, menurut pertubuhan alam sekitar WWF.
Manakala kira-kira 600 ekor berada dalam kurungan di pusat panda, zoo dan taman hidupan liar di seluruh dunia. – Agensi