Home Kes Dua beradik disyaki terlibat penyalahgunaan dadah ditahan di Pakan

Dua beradik disyaki terlibat penyalahgunaan dadah ditahan di Pakan

6
0
Ketua Polis Daerah Julau DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, suspek masing-masing berusia 32 dan 27 tahun didapati mengambil bahan terlarang itu.

JULAU – Dua beradik yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan menerusi Op Tapis Khas di sebuah rumah panjang di kawasan Pakan pada Ahad, kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah (gambar) berkata, suspek masing-masing berusia 32 dan 27 tahun didapati mengambil bahan terlarang itu.

“Hasil ujian air kencing telah mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar telah mengaku terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak tahun 2020, manakala adiknya yang merupakan seorang penganggur mengaku terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak tahun 2023.

“Melalui semakan rekod, pihak polis mendapati suspek yang berusia 27 tahun mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala seorang lagi tiada rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, kata Alif, kedua-dua beradik tersebut telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.

“Melalui siasatan tersebut juga, kedua-dua suspek turut mengaku kali bahawa terakhir mengambil dadah jenis syabu pada 20 Januari lepas, di rumah kediaman mereka.

“Pada masa yang sama juga, mereka turut memaklumkan bahawa mereka telah mendapat bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki Indonesia di kawasan Bintangor,” katanya lagi.

Alif turut menegaskan bahawa penyalahgunaan dadah merupakan musuh utama negara dan pihaknya akan terus memperhebatkan usaha membanteras kegiatan itu, khususnya di daerah Pakan dan Julau.

“Melalui kesempatan ini, kita ingin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah dan kegiatan jenayah agar tampil menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Balai Polis Julau atau Balai Polis Pakan dan setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya lagi.