Home Pendidikan Dua pelajar Malaysia diterima masuk ke Kolej Harvard

Dua pelajar Malaysia diterima masuk ke Kolej Harvard

65
0
Athena Siow (Kiri) merancang melanjutkan pengajian dalam aliran sains data (kerajaan) manakala Namira Lee Tzu berhasrat mengambil jurusan sains dan kejuruteraan alam sekitar.

KUALA LUMPUR – Dua pelajar Malaysia telah diterima masuk ke Kolej Harvard, institut pengajian sarjana muda Universiti Harvard yang berprestij, untuk tahun akademik baharu yang akan tamat pengajian pada 2029.

Menurut Kelab Harvard Malaysia, Athena Siow dari Kuala Lumpur merancang melanjutkan pengajian dalam aliran sains data (kerajaan) manakala Namira Lee Tzu dari Kuala Terengganu berhasrat mengambil jurusan sains dan kejuruteraan alam sekitar.

Siow, penerima biasiswa Yayasan UEM, merupakan bekas pelajar Kolej Yayasan Saad, manakala Namira tamat sekolah menengah di SMK Chung Hwa Wei Sin dan merupakan penerima biasiswa Global PNB.

“Kolej Harvard, yang mengekalkan kadar kemasukan pelajar sarjana muda antara yang terendah di dunia, terus mencari pelajar berbakat di seluruh dunia yang menunjukkan komitmen menggunakan sumber sedia ada di sekeliling mereka untuk menyumbang ke arah dunia yang lebih baik.

“Kami sangat berbangga kerana pelajar yang diterima masuk dari Malaysia masih terdiri dalam kalangan pelajar sekolah kerajaan dan semakin ramai daripada latar belakang berpendapatan sederhana di luar wilayah Lembah Klang,” kata presiden kelab itu, Wan Nadiah Wan Abdullah Yaakob.

Wan Nadiah berkata, Liow adalah salah seorang daripada dua wakil Malaysia di Persidangan Belia pada COP 2023 yang diadakan di Dubai, dan menjadi antara pejuang keadilan iklim di Malaysia dengan melatih kira-kira 100 gadis melalui program Pandu Puteri.

Beliau turut melatih anak muda Melaka dalam catur secara percuma dan menjadi sukarelawan di sekolah pelarian di kawasan kejiranannya.

Sementara itu, Namira terlibat secara aktif dalam pemuliharaan alam sekitar, yang menjadi faktor kepada pemilihannya menyertai Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara tajaan Amerika Syarikat yang diadakan di Illinois dan Washington DC.

Beliau kemudian memperoleh geran dua tahun berturut-turut yang digunakan untuk memulakan projek pemuliharaan penyu dengan pelajar sekolah menengah dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF). Projek ini kemudian diperluas kepada pelajar sebuah sekolah rendah Cina.

Universiti Harvard, institut pendidikan tinggi tertua di AS, secara meluas dianggap antara universiti terbaik di dunia dan menduduki tempat keempat dalam QS World University Rankings 2024.

Malaysia kini mempunyai kurang 15 graduan Kolej Harvard.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here