BEIJING – Tentera China hari ini memberi amaran bahawa ia akan memperketat ‘jerutan’ ke atas Taiwan jika gerakan untuk memisahkan pulau daripada China meningkat, menurut laporan media rasmi China, Xinhua.
Jurucakap tentera, Wu Qian, menegaskan pendirian negara itu kepada perwakilan dalam satu mesyuarat tahunan.
“Semakin agresif golongan pemisah ‘Kemerdekaan Taiwan’, semakin ketat ‘jerutan’ di leher mereka dan semakin tajam pedang yang tergantung di atas kepala mereka.
“Beberapa senjata dibekalkan Amerika Syarikat (AS) tidak akan mengubah hakikat bahawa Taiwan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada China, sekali gus melenyapkan potensi bagi ‘Kemerdekaan Taiwan’.
“Tentera Pembebasan rakyat (PLA) adalah kuasa yang akan menentang pemisahan dan mempromosikan penyatuan,” katanya.
Tambah Wu, ketika menjawab soalan media, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rondaan di sekitar pulau itu dan tindakan ketenteraan sudah menjadi kebiasaan.
Beliau turut menegaskan, isu Taiwan adalah urusan dalaman China sepenuhnya dan tidak boleh menerima campur tangan pihak luar.
“Penyatuan China adalah satu arus utama, ia bukan sahaja didorong oleh kekuatan tetapi juga oleh kehendak rakyat,” katanya.
Wu juga menuduh pihak berkuasa Parti Progresif Demokratik semakin meningkatkan provokasi pemisahan dengan ilusi bergantung kepada AS untuk mencapai ‘Kemerdekaan Taiwan’.
Sebaliknya, tindakan mereka mengharapkan kekuatan bagi menentang penyatuan hanya mencetuskan kemarahan bersama rakyat di kedua-dua belah Selat Taiwan, dan pasti akan diadili oleh sejarah. – AGENSI