KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempertahankan pendirian bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada Mei 2018.
Beliau yang juga Menteri Kabinet ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa Dr Mahathir ada membangkitkan perkara tersebut semasa mesyuarat Kabinet.
Jelas Loke, beliau dan anggota Kabinet lain hanya mengikut ‘keputusan’ Dr Mahathir mengenai Batu Puteh kerana ramai dalam kalangan mereka masih baharu dan tidak tahu apa itu Memorandum Jemaah Menteri.
Katanya lagi, Mesyuarat Kabinet pada Mei 2018 juga hanya “memperakukan” keputusan Dr Mahathir untuk menangguhkan dua permohonan undang-undang mengenai Batu Puteh.
“Sudah tentu, secara jujur, bahawa ramai dalam Jemaah Kabinet (ketika itu), ia adalah mesyuarat pertama buat kami.
“Kita pun tak tahu, apa itu Memorandum Jemaah Menteri, dan macam mana rupa kertas Kabinet. Selepas itu, kita tahu bahawa keputusan Kabinet perlu dibuat berdasarkan Memorandum Jemaah Menteri, dan ia melalui proses termasuk semua kementerian dan agensi berkaitan, untuk memberi maklum balas dan komen mereka.
“Selepas menyemak semula ulasan, hanya kita boleh membuat keputusan yang lebih bermaklumat. Mengimbas kembali, inilah situasinya ketika itu (berhubung isu Pulau Batu Puteh),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Sebelum ini, Loke bersama dua lagi bekas menteri Kabinet iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad dalam satu kenyataan bersama mendakwa Dr Mahathir tidak merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu berhubung keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung Pulau Batu Puteh yang dibuat pada 21 Mei 2018.
Jelas ketiga-tiga mereka, perkara itu turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum Mesyuarat Kabinet pertama diadakan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak membuat keputusan secara sendiri, sebaliknya telah mendapat persetujuan Kabinet ketika itu.
Terbaharu, Dr Mahathir menyifatkan ketiga-tiga bekas menteri itu berbohong mengenai keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.
Mengulas lanjut, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menambah, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah mencerminkan keadaan sebenar.
Jelas beliau, laporan tersebut menekankan bahawa kelemahan utama ialah proses membuat keputusan dan bagaimana perkara itu perlu ditangani pada masa depan.
“Jadi saya cadangkan Dr Mahathir dan orang ramai hendaklah membaca keseluruhan laporan RCI untuk memahami keseluruhan kronologi dan latar belakang isu.
“Bagi perkara penting yang melibatkan kedaulatan negara, proses itu sepatutnya lebih teliti. Laporan RCI merumuskan bahawa isu penting seperti itu, melibatkan kedaulatan negara, sepatutnya melalui proses yang lebih teliti,” ujar Loke.