JOHOR BAHRU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menikmati santapan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah restoran asam pedas terkenal di Johor Bahru, hari ini.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri di Istana Pasir Pelangi.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, turut berangkat ke sesi mengadap serta santapan tengah hari berkenan.
Sementara itu Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau menghadap Sultan Ibrahim bagi menyembah maklum beberapa urusan antaranya terkait isu negara dan usaha Kerajaan menangani permasalahan banjir di beberapa negeri, selain menyentuh soal pembangunan ekonomi negara dan negeri.
“Usai sesi tersebut, saya mengiringi Baginda Tuanku untuk santapan tengah hari di restoran Asam Pedas Botak di Johor Bahru, sebelum berangkat pulang ke ibu negara,” katanya.