KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto segera sembuh kerana demam supaya dapat menyambung pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu.
Perdana Menteri berkata, beliau dan Prabowo dijadual mengadakan pertemuan di Pulau Langkawi, Kedah hari ini, namun ditangguhkan atas faktor kesihatan Presiden Indonesia itu.
“Saya dan keluarga sudah (berada) di Pulau Langkawi bagi menerima kunjungan sahabat, Presiden Prabowo Subianto hari ini.
“Namun, malam tadi beliau mohon menangguhkan pertemuan untuk beberapa hari kerana demam.
“Mendoakan supaya Presiden Prabowo diberi kesembuhan sesegera mungkin sekaligus menyambung rencana pertemuan dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Selain itu, Anwar berkata, beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, Khamis ini.
Jelasnya, pertemuan itu adalah untuk agenda ASEAN demi kesejahteraan rantau berkenaan.
Anwar sebelum ini melantik bekas Thaksin sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.