Home Nasional Anwar hoskan majlis makan tengah hari raikan PM Thailand

Anwar hoskan majlis makan tengah hari raikan PM Thailand

9
0
Anwar dan Paetongtarn ditemani pasangan masing-masing menikmati makan tengah hari bagi meraikan delegasi Thailand di Kediaman Rasmi Perdana Menteri pada Isnin. 📸 Bernama

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan rakan sejawatannya dari Thailand Paetongtarn Shinawatra di kompleks Seri Perdana, di sini.

Paetongtarn dan delegasinya yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari, disambut oleh Anwar sebaik tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 11.45 pagi.

Kedua-dua pemimpin itu ditemani pasangan masing-masing, Pidok Sooksawas dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mereka berempat terdahulu dipersembahkan dengan tarian kebudayaan etnik pelbagai kaum bagi mengalu-alukan kehadiran delegasi Pateongtarn buat kali pertama ke negara ini.

Anwar dan Paetongtarn mengadakan pertemuan tertutup di pejabat Perdana Menteri sebelum mengadakan mesyuarat dua hala di Bilik Mesyuarat pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Terdahulu Anwar dan Paetongtarn mengadakan pertemuan bagi mengukuhkan hubungan dua hala di bawah rangka kerja Rundingan Tahunan (AC) Malaysia-Thailand ke-tujuh.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kebudayaan, kesenian dan warisan, serta pembangunan industri getah dan kerjasama ekonomi.

Lawatan Paetongtarn menyerlahkan persahabatan yang terjalin lama dan hubungan kukuh antara Malaysia dan Thailand sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN.

Pada 2023, Thailand merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia di dunia dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah US$24.83 bilion (RM113.16 bilion).

Antara Januari dan Oktober 2024, perdagangan dua hala telah mencecah US$20.75 bilion (RM95.50 bilion), berbanding US$20.69 bilion (RM94.37 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here