
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan kutipan saman sebanyak RM2.1 juta sepanjang dua hari program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, 24,400 saman dilunaskan sehingga semalam.
“Antara pembayaran saman tertinggi yang dilunaskan ialah membabitkan kesalahan halangan lalu lintas; mengabai isyarat lalu lintas dan pandu laju.
“Pengunjung sangat berpuas hati dengan fasaliti yang disediakan terutama ruang menunggu yang banya serta penyediaan sehingga 25 kaunter,”katanya ketika ditemui, hari ini.
Mohd Yusri berkata, pihaknya menjangkakan hari terakhir program iaitu esok akan lebih ramai memandangkan cuti hujung minggu.
“Untuk keselesaan pengunjung, kita menyediakan kira-kira 25 kaunter pembayaran saman termasuk tujuh kaunter untuk orang kurang upaya, warga emas dan ibu mengandung.
“Bagi mengurangkan tempoh beratur yang lama, PDRM turut menyediakan kupon saman. Pengunjung yang hadir tidak perlu beratur dan perlu menjelaskan menerusi aplikasi Mybayar,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan memperluaskan diskaun saman ke balai-balai polis seluruh negara pada bulan hadapan.
“Pemberian diskaun saman sebanyak 60 peratus sempena Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 akan menjadi ‘benchmark’ atau penanda aras kepada program terbabit.
“Bagaimanapun jumlah diskaun saman berkenaan bergantung kepada perbincangan selepas ini,” katanya.