PUTRAJAYA – Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Vietnam, To Lam diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini, pada Khamis sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan To Lam jam 11.50 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
To Lam kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Melayu Diraja diketuai Mejar Mohamad Fikri Senan. Turut hadir dalam majlis itu adalah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta anggota Jemaah Menteri.
To Lam tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 10 pagi tadi bagi lawatan sulungnya sejak dilantik sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos lalu.
Beliau dan Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala di Seri Perdana bagi bertukar pandangan yang dijangka tertumpu kepada kemajuan hubungan bilateral.
Ia antaranya kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, teknologi digital dan komunikasi maklumat.
Kedua-dua pemimpin dijadual akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman dalam Memperkukuh Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE).
Antara lain adalah Memorandum Kerjasama membabitkan PETRONAS dengan PETROVIETNAM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Pada tahun lalu, Vietnam adalah rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam ASEAN.
Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dengan Vietnam mencatatkan jumlah RM80 bilion dan eksport dari Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion.