KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri antara tiga yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dipercayai pemain utama dalam kegiatan memunggah keluar hasil galian dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur sah di sekitar Kuantan sejak dua tahun lalu.
Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, siasatan juga mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai permit yang sah.
“Kes ini dalam peringkat menyita bauksit dibawa ke Terengganu. semalam 3 telah ditahan, seorang itu berpangkat Datuk Seri dikatakan sebagai pemain utama dalamn membawa bauksit daripada Pahang ke Terengganu.
“Kita dapati ada unsur penyelewengan kerana permit tidak dikeluarkan kepada syarikat berkenaan,”jelasnya.
Tambah Azam, siasatan awal mendapati sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah mengambil tindakan berhubung kes berkenaan.
Dari sudut SPRM, tindakan menyita akaun syarikat terbabit telah dilakukan.
Di samping itu, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat elemen rasuah melibatkan penjawat awam.
“Kita bukan sahaja menjalankan tindakan kami, PDRM juga telah mengambil tindakan sebelum itu.
“Di pihak SPRM kami mengambil tindakan sewajarnya dibawa akta kami, termasuk menyita akaun-akaun syarikat berkenaan.
“Setakat ini kita belum jumpa lagi, bagi masa sikit untuk kita semak akaun berkenaan berkemungkinan ada terlibat atau tidak kita akan maklum kemudian,”katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Program Menembak SPRM bersama Media di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menggempur kegiatan memunggah keluar bauksit di Kuantan, Pahang selepas Bahagian Perisikan SPRM melakukan serbuan di sekitar Bukit Goh.
Turut ditahan dan direman, tiga individu termasuk dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi berkenaan kerana dipercayai terbabit dalam rasuah bagi melindungi kegiatan itu.
Kesemua mereka berusia 30 hingga 50 an itu direman selama enam hari sehingga 19 November depan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat disiasat dibawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.