Home Ekonomi PM adakan lawatan kerja ke Brazil, hadiri Sidang Kemuncak G20

PM adakan lawatan kerja ke Brazil, hadiri Sidang Kemuncak G20

16
0
Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 atas jemputan Presiden Brazil, Inácio Lula da Silva yang mencerminkan hubungan diplomatik yang mesra antara kedua-dua negara. 📸 Bernama

KUALA LUMPUR – Dari Lima, Peru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Rio de Janeiro, Brazil selama empat hari dari 16 hingga 19 November ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, kehadiran Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20 adalah atas jemputan Presiden Brazil, Inácio Lula da Silva yang mencerminkan hubungan diplomatik yang mesra antara kedua-dua negara.

Ia juga memperlihatkan penglibatan aktif Malaysia dalam usaha kemampanan dan reformasi tadbir urus global.

“Di bawah kepimpinan Brazil di G20 pada tahun ini, Malaysia menyertai dua inisiatif yang signifikan iaitu ‘Environment and Climate Sustainability Working Group’ (ECSWG) dan ‘G20 Initiative on Bioeconomy’ (GIB),” menurut kenyataan itu.

Dalam lawatan berkenaan, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, semasa Sidang Kemuncak G20, Anwar dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi mengenai ‘Fight Against Hunger and Poverty dan Reform of Global Governance Institutions’.

Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari Negara Anggota Kumpulan G20 untuk membincangkan isu dua hala dan pelbagai hala yang berkepentingan bersama.

Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil untuk membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia-Brazil termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri semikonduktor serta mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin tersebut juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala termasuk ASEAN, BRICS dan G20.

Selain itu, Anwar dijadualkan akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Brazil bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor minyak dan gas serta teknologi digital.

“Penglibatan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak G20 menekankan hasrat Malaysia untuk memajukan kerjasama ekonomi, menggalakkan kesejahteraan dan pembangunan inklusif serta reformasi tadbir urus global,” menurut kenyataan itu.

Jelas Wisma Putra, lawatan kerja terbabit juga membuka peluang kerjasama yang lebih luas untuk Malaysia dan Brazil apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Brazil sebagai Pengerusi BRICS pada tahun sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here