SANDAKAN – Seramai 764 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.
Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen Papar itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut MV Antonia 1 ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib, penghantaran pulang ini membabitkan seramai 302 lelaki, 208 wanita dan 212 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia bawah 12 tahun serta 42 bayi.
“Ini adalah program pemindahan siri 20 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing.
“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Katanya, hingga kini seramai 5,503 tahanan warga Filipina sudah dihantar balik dan menjadikan jumlah keseluruhan PATI dihantar pulang mencecah 7,873 orang.
“Jumlah orang yang dipindahkan mengikut pecahan iaitu 5,570 warga Filipina diikuti Indonesia (2082); Pakistan (89); Vietnam (39); China (34); India (4),” katanya.
SH Sitti Saleha berkata, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan jalinan hubungan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan asing di Malaysia.
“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi semua tahanan yang ditempatkan di depot-depot imigresen di Sabah.
“JIM Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.