
MELAKA – Seorang lelaki berusia 54 tahun diberkas polis semalam selepas dipercayai merakam anak gadis jirannya ketika mangsa sedang mandi, di Taman Seri Duyong di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian disedari mangsa yang berusia 27 tahun selepas ternampak kelibat tangan suspek di tingkap bilik airnya kira-kira pukul 9 malam, 26 September lalu.
“Mangsa yang terkejut terus menjerit dan memberitahu adik lelakinya yang kemudian keluar untuk memeriksa, namun suspek telah melarikan diri.
“Pemeriksaan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah itu mendapati suspek yang merakam mangsa adalah penduduk yang dikenalinya di taman berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, menerusi rakaman itu, suspek juga dilihat menceroboh kediaman mangsa dengan memanjat pagar di bahagian belakang rumah.
“Lelaki itu kemudian datang menyerah diri di balai polis sebelum ditahan pukul 8.30 malam tadi dan direman tiga hari bermula hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.