Home Sukan Punca United kalah dibongkar

Punca United kalah dibongkar

22
0
Bruno Fernandes dibuang padang pada minit ke-42 sekali gus menyumbang kepada kekalahan United kepada Spurs kelmarin. 📸 AFP

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mendedahkan beberapa masalah yang menyebabkan pasukannya kalah pada perlawanan liga Ahad lalu.

Selain ketinggalan seawal minit ketiga perlawanan menjadi salah satu penyumbang kepada kekalahan pasukan itu yang berdepan aib tewas 0-3 kepada Tottenham Hotspur di Old Trafford kelmarin.

Ia menjadi kekalahan kedua United di laman sendiri selepas tewas 0-3 kepada Liverpool sebelum ini dan lebih memeritkan aksi kelmarin menyaksikan kapten pasukan, Bruno Fernandes dilayangkan kad merah sekali gus menyumbang kepada kekalahan berkenaan.

United ketinggalan seawal minit ketiga hasil jaringan Brennan Johnson yang menerima hantaran lintang Micky Van De Ven dan gol itu hampir sama dengan jaringan dilakukan FC Twente pada aksi Liga Europa sebelum ini.

“Kami sepatutnya belajar. Ia tidak boleh berlaku situasi sama dalam tempoh empat hari apabila pemain pertahanan lawan mampu membawa bola di kawasan kami tanpa mampu disekat. Anda tidak boleh melakukan kesilapan seperti itu.

“Untuk 30 minit pertama, kami bermain di bawah prestasi sebenar berbanding apa yang dijangka untuk pasukan seperti United. Walaupun terlebih dahulu bolos, kami perlu tenang dan kekal dengan rancangan.

“Pemain berada dalam tekanan apabila ketinggalan pada awal permainan, kemudian mereka melakukan beberapa keputusan yang teruk. Kami sepatutnya mampu untuk bermain dengan lebih baik,” katanya.

Mengulas mengenai kad merah yang diterima Fernandes, Ten Hag percaya kekasaran yang dilakukan pemain itu tidak layak untuk dikenakan hukuman berkenaan dan ia memberi kesan besar kepada pasukannya.

“Kad merah itu benar-benar mengubah perlawanan ini. Saya tidak fikir ia sepatutnya dihukum dengan cara sebegitu,” ujarnya yang kini berdepan tiga kekalahan dalam enam perlawanan awal musim ini bersama United. – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here