
PANDANGAN – Reaksi pemimpin-pemimpin parti yang memperjuangkan Islam berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian RM12 bilion ditanggung Lembaga Tabung Haji (TH), amat mengecewakan.
Bukan sahaja mereka meninggalkan Dewan semasa perbincangan mengenainya, malah gagal mengupas kelemahan, masalah dan penyelewengan yang berlaku sehingga RM12 bilion tabungan orang Islam untuk menunaikan haji hangus begitu sahaja.
Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam seharusnya mereka memandang serius kerugian melibatkan simpanan orang Islam, termasuk ahli-ahlinya yang ingin menunaikan haji. Sebaliknya mereka mempertikaikan tindakan kerajaan dengan menuduh sengaja mencari salah organisasi Islam untuk menunjukkan Melayu Islam korup dan tidak tahu mengurus.

Mereka lupa RCI ditubuhkan pada 22 Januari 2022 di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pas adalah parti dalam gabungan tersebut. Dalam erti kata lain usaha mencari kelemahan TH dimulakan Pas yang merupakan sebahagian dari kerajaan PN ketika itu.
Oleh kerana laporan RCI tidak menepati jangkaan untuk memburukkan Pakatan Harapan (PH), ditaburkan pula fitnah, kononnya kerajaan sengaja mencari salah orang Melayu Islam. Fitnah yang bertujuan untuk mengalih perhatian orang Islam daripada penyelewengan yang berlaku dalam TH,turut melibatkan parti yang menjadi rakan dalam pilihan raya negeri (PRN).
Kepincangan dan penyelewengan yang berlaku sehingga RM12 bilion ditutup mata untuk mengelak kemarahan orang Melayu Islam terhadap parti yang bakal menjadi rakan dalam pilihan raya. Sebaliknya kemarahan itu cuba disalurkan kepada kerajaan yang kononnya anti Melayu Islam.
Parti yang sepatutnya menerapkan nilai-nilai Islam seperti integriti, amanah dan jujur sebaliknya cuba menutup salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam TH. Seolah-olah menghalalkan penyelewengan oleh orang Melayu yang beragama Islam, semata-mata untuk menutup kelemahan rakan partinya dan kehilangan undi orang Melayu.

Kehilangan simpanan RM12 bilion tidak dirasai kerana kerugian tersebut ditanggung kerajaan melalui cukai yang kutip bukan sahaja dari orang Islam tetapi juga orang bukan Islam. Oleh kerana kesan itu tidak dirasai, orang Melayu begitu mudah menerima tuduhan melulu yang dilemparkan oleh mereka yang bergelar ulama dan bertopengkan Islam.
Sekiranya kerajaan tidak menampung kehilangan RM12 bilion dan membiarkan penabung menanggung kerugian tersebut, adakah orang Melayu Islam akan celik dan sedar bahawa mereka sedang dipergunakan untuk memperkayakan segelintir Melayu yang tamak?

NORUDDIN IDRIS
Kuala Lumpur





