
SEREMBAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan aspek pertahanan negara merupakan amanah besar dalam menjaga maruah, memelihara Selat Melaka dan Laut China Selatan, selain memastikan keamanan rantau terus terpelihara bersama negara sahabat.
Menurut Perdana Menteri, keamanan tidak hadir secara percuma, sebaliknya ditegakkan hasil pengorbanan para perwira dan disiplin teguh anggota pertahanan.
“Bersempena bulan kemerdekaan ini, kita terus-terusan diingatkan bahawa keamanan tidak hadir dengan sendiri.

“Malah, ia ditegakkan dengan pengorbanan perwira dan perajurit bangsa, dengan disiplin teguh dan kepemimpinan yang menolak segala bentuk penyimpangan mahupun yang diam terhadap kecurangan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar merasmikan Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan di Nilai sebelum meneruskan lawatan ke kilang kenderaan perisai Mildef International Technologies di Seremban yang disifatkan sebagai mercu tanda baharu industri pertahanan negara.
“Ia antaranya menjadi lambang inovasi dan kepakaran temparan, selain menjadi simbol kedaulatan yang mengakar pada maruah bangsa.

“Malaysia tidak seharusnya secara berterusan bergantung pada perolehan dari luar, tetapi sebaliknya mesti membina kekuatan dalam negeri dengan prinsip tatakelola yang telus, kecanggihan teknologi dan penyelidikan yang berpaksi pada kekuatan jati diri bangsa,” katanya.
Anwar berkata, pembangunan industri pertahanan bukan sahaja melibatkan aspek keselamatan, malah harus memberi limpahan manfaat kepada rakyat.
“Justeru, saya tekankan bahawa kekuatan industri pertahanan tempatan harus berpadu dengan kesejahteraan rakyat. Bila bumbung ekonomi negara makin tinggi, lantainya juga mesti terangkat supaya pekerja dan keluarga turut menikmati hasilnya.
“Ini semangat yang Madani, yakni pertahanan kukuh, ekonomi makmur, rakyat sejahtera, dan negara yang terus dihormati dunia,” ujarnya.