
BANGKOK – Parti kedua terbesar dalam gabungan pemerintah Thailand menarik diri pada Rabu, susulan satu panggilan telefon yang bocor antara Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen sekali gus meletakkan pemerintahannya di ambang kejatuhan.
Parti konservatif Bhumjaithai berkata, negara, rakyat dan tentera kehilangan maruah disebabkan tindakan Paetongtarn dalam panggilan itu yang berkaitan pertikaian sempadan berlarutan antara Thailand dan Kemboja.
Kehilangan 69 ahli parlimen aktif dari parti Bhumjaithai menyebabkan gabungan yang diketuai parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn hampir tidak mempunyai cukup majoriti.
Jika mana-mana lagi rakan gabungan menarik diri, kemungkinan besar Thailand akan menuju ke pilihan raya umum yang tidak sampai dua tahun selepas pilihan raya terakhir pada Mei 2023.
Parti Bhumjaithai dalam kenyataan penarikan diri berkata, panggilan telefon yang bocor itu menjejaskan kedaulatan dan kesejahteraan negara serta Tentera Thai.
“Parti Bhumjaithai menggesa Paetongtarn bertanggungjawab atas tindakannya yang menyebabkan negara, rakyat dan tentera kehilangan maruah,” menurut kenyataan itu.
Paetongtarn, 38, naik ke tampuk kuasa pada Ogos 2024 menerajui sebuah gabungan yang janggal antara Pheu Thai dan sekumpulan parti konservatif protentera dengan anggotanya menghabiskan sebahagian besar 20 tahun lalu menentang bapanya, bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.
Ketegangan semakin memuncak dalam gabungan itu meletus menjadi pertikaian terbuka minggu lalu apabila Pheu Thai cuba mengambil alih jawatan menteri dalam negeri daripada pemimpin Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul.
Kehilangan Bhumjaithai menyebabkan gabungan Pheu Thai hanya mempunyai beberapa undi lebih daripada 248 yang diperlukan untuk majoriti.
Dalam panggilan telefon yang bocor itu, Paetongtarn kedengaran berbincang mengenai krisis sempadan dengan Hun Sen yang sudah meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2023 selepas empat dekad memerintah tetapi masih mempunyai pengaruh besar.
Beliau memanggil pemimpin veteran itu sebagai ‘pak cik’ dan meluahkan rasa tidak puas hati mengenai publisiti buruk yang diterimanya akibat ketegangan sempadan itu.
Ketegangan itu tercetus bulan lalu apabila tentera kedua-dua negara berbalas tembakan menyebabkan seorang tentera Kemboja terbunuh.