
KATA ANDA – Peruntukan sejumlah RM30 juta yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkasa industri media tempatan, satu langkah yang amat wajar disambut baik oleh para pengamal media.
Peruntukan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kualiti dan etika kewartawanan demi memastikan media kekal relevan, berwibawa dan berintegriti dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Sudah tentu rakyat mahukan maklumat yang tersedia di hujung jari benar-benar melaporkan pelbagai ‘hidangan’ tepat dan benar, bukan bersifat ‘clickbait’ yang menggugat etika kewartawanan setiap pengamalnya.
Ketika kita berdepan era digital yang serba pantas ini, kewartawanan beretika sangat penting bagi menangani penularan maklumat palsu dan berita berunsur fitnah.
Justeru, dana ini boleh digunakan untuk melaksanakan latihan profesional, bengkel etika kewartawanan, serta pemerkasaan pelaporan berasaskan fakta.

Ia juga memberi peluang kepada organisasi media untuk melabur dalam teknologi baharu, memperkukuh keselamatan digital dan menyesuaikan diri dengan landskap media moden.
Pengamal media turut bertanggungjawab memastikan peruntukan ini tidak disalah guna, sebaliknya memberi impak langsung kepada peningkatan mutu laporan berita dan kebebasan media yang bertanggungjawab.
Menerusi pemberitaan dan pelaporan berhemah, dana ini mampu memperkukuh peranan media sebagai tiang keempat demokrasi serta rakan pembangunan negara.
Kerajaan pula perlu memastikan ketelusan dalam pengagihan dana dan memastikan ia benar-benar sampai kepada yang memerlukan, termasuk media arus perdana dan alternatif.
Sementelah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) menjadi wadah terbaik bukan sekadar mengumpul pengamal media, tetapi ia juga menjadi manifestasi percambahan kreativiti, peningkatan nilai kandungan dan memastikan etika terus dititil beratkan sepanjang masa.