
PUTRAJAYA – Konsep Kota MADANI menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika sesi pembentangan konsep itu, Perdana Menteri dimaklumkan antara kemudahan dirancang termasuk sekolah menegak serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, institusi kewangan, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan masjid juga akan dibangunkan berdekatan kawasan perumahan.
“Fasa pertama membabitkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.

“Reka bentuk masjid dan sekolah akan menampilkan unsur budaya tempatan, sejajar usaha mengekalkan seni bina dan warisan.
“Semoga segala perancangan ini berjalan lancar dan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi manfaat bersama,” katanya menerusi entri di aplikasi X, hari ini.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, menerusi entri berasingan berkata, Kota MADANI dengan keluasan 41.28 hektar bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk dan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.
Beliau berkata, reka bentuknya mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan, prasarana digital berkecekapan tinggi dan sistem mobiliti hijau.
Katanya, ia menjadi asas kepada bandar rendah karbon sebagai menjunjung prinsip kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.
“Hari ini berkesempatan dalam sela masa membentangkan konsep pembangunan Kota MADANI Putrajaya kepada Anwar.

“Pembangunan ini adalah pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai bandar contoh yang mendukung nilai MADANI dan selari visi Bandar CHASE.
“Pembangunan ini adalah pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai bandar contoh yang mendukung nilai MADANI dan selari visi Bandar CHASE.
“Insya-Allah, majlis pecah tanah dijadual berlangsung pada 26 Jun ini. Terima kasih Anwar atas keyakinan dan pandangan bernas dalam memperhalusi hala tuju strategik Kota MADANI sebagai pencetus pembaharuan ruang bandar lebih manusiawi serta progresif,” katanya.