
KUALA LUMPUR – Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat nilai kepusatan dan persaudaraan dalam kalangan negara anggota ASEAN penting untuk memastikan badan serantau itu terus bersatu dalam menghadapi cabaran global secara kolektif.
Menurut Tunku Nashrul, Perdana Menteri menegaskan aspek itu penting untuk ASEAN terus berdaya tahan terutama dalam menghadapi pelbagai cabaran yang semakin kompleks.
“Dalam ucapan pembukaan plenari semalam, Perdana Menteri menekankan bahawa pencapaian satu dekad sejak penubuhan Komuniti ASEAN telah memberi semangat dan keyakinan baharu kepada rantau ini.
“Ini dicerminkan melalui daya tahan luar biasa meskipun dunia kini semakin kompleks dan mencabar.
“Mengambil kira peralihan dalam tatanan geopolitik dan sistem perdagangan global, Perdana Menteri menegaskan nilai ASEAN Centrality atau Kepusatan ASEAN dan persaudaraan antara negara anggota adalah penting untuk memastikan ASEAN terus bersatu dalam menghadapi cabaran semasa secara kolektif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang disiarkan melalui Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia, hari ini.
Tunku Nashrul berkata, Anwar turut menyentuh penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang julung kali diadakan.
“Perdana Menteri melihat penganjurannya mencerminkan kejayaan dalam membentuk semula corak kerjasama sejajar dengan realiti dunia multipolar hari ini.
“Ia melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau dan dijangka membawa kesan positif kepada dunia secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas dukungan terhadap kepengerusian Malaysia yang diharap dapat membawa rantau ini ke arah pertumbuhan yang adil, mampan dan berdaya tahan.