
KUANTAN – Seorang penghidap kencing manis kronik yang dalam masa sama berjuang membesarkan tiga anaknya, menerima bantuan wang tunai dan bakul makanan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Bantuan itu disampaikan kepada Luthfi Hasyim oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi, yang menziarahinya di kediamannya di Indera Mahkota 2, di sini.
“Beliau menghidap kencing manis kronik sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong. Namun, di sebalik ujian itu, beliau tetap tabah menyempurnakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga,” kata Ahmad Farhan menerusi catatan di Facebook, yang turut dikongsi Perdana Menteri.

Luthfi, seorang peniaga kedai runcit, menetap bersama isteri dan tiga anaknya.
Ahmad Farhan berkata ketabahan Luthfi menjadi peringatan bahawa meskipun diuji dengan cabaran besar, manusia tetap mampu berdiri teguh demi keluarga.
“Semoga Allah permudahkan urusan beliau sekeluarga,” katanya.
