
KUANTAN – Seramai 166 individu dalam kategori miskin tegar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah dan DUN Semambu, Pahang menerima bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, yang menekankan bahawa inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi satu perubahan nyata bagi golongan memerlukan.
“Baru-baru ini, di Parlimen Indera Mahkota, saya menyaksikan sendiri bagaimana satu amanah dapat diterjemahkan menjadi perubahan yang nyata.
“Bukan sekadar menyerahkan bantuan, tetapi menyaksikan kejayaan mereka yang sebelum ini berada dalam kelompok miskin tegar, kini berjaya keluar daripada belenggu tersebut.
“Saya hadir menyantuni masyarakat setempat dalam kategori miskin tegar di sekitar Parlimen Indera Mahkota,” katanya menerusi hantaran di Facebook, yang turut dikongsikan oleh Perdana Menteri.
Menurut Ahmad Farhan, kejayaan membebaskan rakyat daripada kemiskinan tegar adalah hasil usaha bersepadu kerajaan dengan sokongan daripada Zakat Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Bantuan ini memberi kelegaan kepada mereka yang bergelut dengan cabaran kewangan harian.
“Saya berharap bantuan ini menjadi langkah awal buat mereka membina kehidupan yang lebih baik. Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memastikan tiada siapa yang tercicir, kerana setiap rakyat berhak menikmati kemajuan bersama,” katanya.