Home Sukan Liga Perdana Inggeris berdepan krisis

Liga Perdana Inggeris berdepan krisis

32
0
📸 hiasan.

LONDON – Peraturan penajaan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara tahun 2021 dan 2024 “batal dan tidak boleh dikuatkuasakan,” menurut satu tribunal semalam.

Keputusan itu menyusuli tuntutan undang-undang oleh Manchester City terhadap peraturan Transaksi Pihak Bersekutu (APT) liga itu, yang mengawal selia tawaran komersial antara kelab dan syarikat yang dikaitkan dengan pemiliknya jika dianggap melebihi nilai pasaran yang adil.

“Dalam sebahagian daripada keputusan akhir, peraturan APT dan peraturan APT yang dipinda didapati menyalahi undang-undang dalam tiga aspek,” kata tribunal itu dalam kesimpulannya.

“Kini timbul persoalan untuk membuat keputusan sama ada ketiga-tiga aspek itu boleh diputuskan daripada baki peraturan APT supaya baki peraturan APT itu sah dan boleh dikuatkuasakan.

“Tiga aspek yang mana peraturan APT dan peraturan APT yang dipinda adalah menyalahi undang-undang tidak boleh diputuskan dengan keputusan bahawa peraturan APT secara keseluruhan adalah terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan.”

Liga Perdana, pentadbir EPL, menyatakan keputusan itu tidak menjejaskan “operasi sah” peraturan APT semasa, yang dipinda pada November lalu di sebalik bantahan City, Newcastle United, Nottingham Forest dan Aston Villa.

“Keputusan yang dibuat tribunal adalah peraturan APT terdahulu, secara keseluruhannya tidak boleh dikuatkuasakan,” menurut Liga Perdana dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun, peraturan APT sebelum ini tidak lagi dilaksanakan, kerana kelab sudah mengundi peraturan APT baharu berkuat kuasa pada November 2024. Keputusan ini secara nyata tidak memberi kesan kepada operasi sah peraturan baharu itu,” jelasnya.

Peraturan yang tidak sah termasuk pinjaman pemegang saham dengan faedah rendah dan konflik undang-undang persaingan yang digariskan oleh tribunal tahun lalu.

Juara bertahan City sebelum ini mengkritik pendekatan Liga Perdana, dengan alasan perubahan kepada peraturan tidak sepatutnya dilaksanakan sebelum keputusan akhir tribunal dibuat.

Dalam perbicaraan bebas yang berasingan, City meraih kemenangan separa selepas panel timbang tara memihak perjanjian penajaan kelab itu yang disekat sebelum dilengkapkan.

City, yang memenangi lapan gelaran EPL, satu Liga Juara-Juara, tiga Piala FA dan enam Piala Liga sejak dibeli oleh Abu Dhabi United Group milik Sheikh Mansour pada 2008, didakwa melanggar 115 peraturan kewangan.

Mereka dijangka mengetahui keputusan atas dakwaan pelanggaran peraturan kewangan tidak lama lagi. – REUTERS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here