Home Kes Wanita maut motosikal elak treler

Wanita maut motosikal elak treler

35
0
Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki dua mangsa itu cuba mengelak sebuah treler yang dikatakan memasuki laluan mereka menyebabkan motosikal hilang kawalan lalu terbabas. 📸 PDRM

BAU – Seorang wanita maut manakala rakannya cedera dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di Kilometer 2, Jalan Bau-Serikin awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Dr. Daram Ruer berkata pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Bau menerima maklumat mengenai insiden tersebut kira-kira jam 5.45 pagi.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa, seorang penunggang motosikal bersama pemboncengnya sedang bergerak dari arah Serikin menuju ke arah Bau.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki dua mangsa itu cuba mengelak sebuah treler yang dikatakan memasuki laluan mereka menyebabkan motosikal hilang kawalan lalu terbabas.

Keadaan motosikal yang ditunggang seorang wanita yang maut dan rakannya cedera di Jalan Bau-Serikin. 📸 PDRM

“Pembonceng sempat bangun selepas terjatuh namun penunggang masih terbaring atas jalan dan telah dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang yang belum dapat dikenal pasti setakat ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, penunggang motosikal yang merupakan seorang wanita disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

“Manakala pembonceng hanya mengalami kecederaan pada bahagian lutut, siku dan lengan,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami menyeru mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kenderaan terlibat agar segera tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” kata beliau.

Daram turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi tekanan kepada keluarga mangsa.

“Pemandu dinasihatkan agar lebih berhati-hati terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan pastikan kenderaan diselenggara dengan baik serta amalkan pemanduan berhemah demi keselamatan bersama,” ujar beliau lagi.