Home Nasional TNB kena alih kepada penjaaan tenaga boleh baharu: PM

TNB kena alih kepada penjaaan tenaga boleh baharu: PM

47
0
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat pameran pada Majlis Pelancaran Bangunan Platinum TNB di Jalan Pantai Baharu Kuala Lumpur. 📷 Bernama

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak boleh lagi bergantung kepada arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, peralihan kepada tenaga boleh baharu itu perlu memandangkan dunia kini menuntut sedemikian khususnya dalam mendepani fenomena perubahan iklim.

“TNB perlu segera melakukan peralihan (tenaga) ini, membuat persiapan untuk terus merangka melalui penyelidikan supaya peralihan tenaga kita berjalan dengan rapi dan berkesan,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-75 TNB di Pusat Konvensyen Leo Moggie di ibu pejabat TNB di sini hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam beberapa pendekatan juga, TNB dilihat agak ke depan dari segi transisi tenaga.

“Ada yang ditekankan, kesediaan TNB untuk ‘third party access’ (penglibatan pihak lain dalam pengeluaran tenaga). Saya faham benar kerana ini menggusarkan TNB.

“Ini laluan tradisionalnya (TNB) untuk mengaut keuntungan dan ini dipatahkan dengan dasar yang memberikan ruang kepada ‘third party access’.

“Kemudian penambahan kemudahan solar dan ini TNB sekali lagi berjaya. Ini adalah kenyataan baru yang mesti diterima dan dijayakan (oleh TNB),” katanya.

Terdahulu, Abdul Razak dalam ucapannya berkata, TNB bergerak selari dengan hasrat kerajaan ke arah mencapai sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050 sebagaimana digariskan di bawah pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“TNB juga tidak ketinggalan membantu kerajaan untuk merealisasikan aspirasi tersebut melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dengan rakan-rakan strategik daripada pelbagai organisasi.

“Melalui Pelan Peralihan Tenaga TNB, inisiatif-inisiatif utama telah disusun untuk mengatur gerak usaha ke arah mempercepatkan Program Pengurangan Karbon; Memperluaskan Pasaran Fokus untuk mempercepatkan Pertumbuhan Tenaga Boleh Baharu (TBB); dan melabur dalam Grid Masa Hadapan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here