Home Kes SPRM tahan dua kakitangan awam kes rasuah RM130,000

SPRM tahan dua kakitangan awam kes rasuah RM130,000

36
0
📸 hiasan

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM130,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek didapati memikta suapan itu daripada beberapa kontraktor sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan kecil tandas sekolah-sekolah di sebuah daerah di Sabah.

Katanya, suspek berusia sekitar 50-an itu ditahan antara jam 7 hingga 10 malam Khamis ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

Susulan penahanan itu, salah seorang suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dan perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 21 November depan terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Wan Farrah Farriza Wan Gahzali.

Sementara itu, seorang lagi suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM sebaik selesai memberikan keterangan pada Jumaat.

“Siasatan awal dipercayai kedua-dua suspek melakukan perbuatan beekenaan pada tahun 2023 dengan meminta rasuah sebanyak 30 peratus daripada nilai projek iaitu kira-kira RM130,000 daripada beberapa kontraktor.

“Kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor itu secara tunai dengan beberapa kali bayaran,” katanya.

Tambahnya, SPRM turut merampas kira-kira RM90,000 wang tunai dan menyita dua buah kenderaan mewah yang dibeli hasil daripada wang rasuah terbabit.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

Beliau turut menyeru kepada mana-mana kontraktor yang pernah memberi wang rasuah kepada mana-mana penjawat awam berkaitan apa juga projek untuk tampil memberikan maklumat kepada SPRM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here