
LONDON – Arne Slot berkata kelab pendahulu itu perlu kembali memperbetulkan asas permainan selepas Liverpool tumpas 3-2 di Fulham malam tadi menamatkan catatan 26 perlawanan tanpa kalah mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Reds masih berada di landasan terbaik untuk menyamai rekod 20 kejuaraan liga utama Inggeris ketika mereka mendahului Arsenal dengan 11 mata dan berbaki tujuh perlawanan.
Namun kekalahan di Craven Cottage adalah yang ketiga buat mereka dalam empat perlawanan selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Paris Saint-Germain serta kalah aksi final Piala Liga kepada Newcastle.
Fulham meledak tiga gol dalam 14 minit babak pertama menerusi Ryan Sessegnon, Alex Iwobi dan Rodrigo Muniz susulan beberapa kesilapan pelawat ketika bertahan selepas jaringan memukau Alexis Mac Allister meletakkan Liverpool di depan.

Luis Diaz membalas satu gol ketika persembahan lebih bersemangat Liverpool pada babak kedua bagaimanapun gagal menyaksikan kebangkitan.
“Ia bukannya bencana 45 minit pertama tetapi kesilapan yang kami lakukan bukannya sesuatu yang biasa,” kata Slot.
“Ia mengecewakan buat kami, pemain dan penyokong.
“Jika anda melakukan kesilapan mereka mempunyai kualiti untuk menghukum anda.
“Pada babak kedua kami mencipta peluang dan patut bangkit, tetapi kami kesuntukan masa. Dalam 25 minit terakhir jelas sekali kami patut menjaringkan gol ketiga.”
Penyingkiran Liverpool daripada pertandingan Eropah bermakna mereka ada masa seminggu untuk bersedia bagi baki setiap perlawanan EPL mereka.
Selepas mempamerkan tanda-tanda keletihan dalam beberapa minggu kebelakangan, Slot berharap jadual yang tidak padat membantu pasukannya kembali ke tahap yang mereka pamerkan pada awal musim.
“Kami ada sepanjang minggu hingga bertemu West Ham (13 April). Setiap orang perlu menyedari satu-satunya cara kami menang adalah dengan usaha berterusan dan kerja keras dalam 90 minit,” katanya. – AFP