KUALA LUMPUR – Pembelian dan penghantaran mercun diharamkan termasuk mercun bola hanya boleh diperoleh menerusi pihak ketiga atau runner.
Itu modus operandi segelintir penjual bunga api yang turut menjual beberapa jenis mercun terlarang daripada kategori mercun bola.
Penjualan itu dilakukan oleh beberapa penjual menerusi platform atas talian dan mereka tidak membenarkan pembeli untuk mengambil mercun berkenaan di kedai jualan mereka.
Semua pembelian mercun jenis itu akan dihantar melalui pihak ketiga kepada pembeli selepas transaksi pembayaran selesai.
Perbualan wartawan dengan seorang penjual ketika jualan langsung menerusi platform sosial media memaklumkan mercun berkenaan dijual pada harga sekitar RM40 hingga RM60 untuk 100 biji mercun bola.
Manakala bagi mercun bola besar pula, ia dijual pada harga RM55 bagi 50 biji dan caj penghantaran adalah berasingan.
Jenis mercun bola tidak dibenarkan untuk dijual kerana berisiko mengakibatkan kecederaan serius dan gangguan ketenteraman awam.
Tinjauan wartawan menerusi beberapa kedai fizikal di sekitar Lembah Klang mendapati tiada penjualan mercun bola dilakukan.
Penjualan hanya membabitkan bunga api kategori Happy Boom yang dibenarkan seperti cake series repeater dan beberapa bunga api yang lain.
Individu yang menjual mercun terlarang itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun hancur tangan kiri, selain luka pada muka selepas menjadi mangsa terkini letupan mercun di Kelantan.
Untuk rekod negeri berkenaan, sejumlah 23 kes membabitkan mercun direkodkan dengan 13 mangsa dimasukkan ke wad, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.