Home Kes ‘Saya tak pernah arah bunuh Altantuya’ – Najib

‘Saya tak pernah arah bunuh Altantuya’ – Najib

29
0
Najib didakwa mengarahkan pembunuhan Altantuya namun siapakah dalang sebenar yang menjadi punca kematian model Mongolia itu?

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak sekali lagi menegaskan dia tidak terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Katanya, dia tidak pernah mengenali Altantuya, tidak pernah berjumpanya, apatah lagi mengarahkan pembunuhannya.

Najib memberitahu perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika menjawab soalan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya sama ada Najib tahu atau mempunyai hubungan dengan Altantuya, seperti didakwa dalam bab 42 buku My Story: Justice In The Wilderness tulisan bekas peguam negara Tommy Thomas.

“Saya tak pernah kenal dia, tak pernah jumpa dia, tak pernah beri arahan sebegitu.

“Saya tidak bersalah dengan jenayah keji itu. Saya tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya.

“Saya telah cakap beberapa kali perkara itu dan bersumpah dalam beberapa acara,” katanya.

Bekas presiden Umno itu berkata demikian ketika perbicaraan penuh kes saman terhadap fitnah terhadap Thomas.

Kenyataan saksi itu muncul sehari selepas bekas komando polis Azilah Hadri terlepas tali gantung.

Mahkamah Persekutuan semalam meringankan hukumannya kepada 40 tahun penjara dan 12 sebatan kerana membunuh gadis 28 tahun itu.

Najib juga mengkritik Thomas kerana didakwanya gagal mengesahkan dakwaan yang dibuat dalam buku yang diedarkan secara meluas di Malaysia dan di pasaran antarabangsa.

Mohon kandungan dikeluarkan

Selepas meninggalkan Jabatan Peguam Negara, Najib berkata, Thomas menulis kandungan yang prejudis semasa perbicaraan 1MDB.

“Jelas sekali dia berniat untuk mencemarkan nama baik saya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kaitan dia dengan Abdul Razak Baginda, Najib mengakui mengenali penganalisis pertahanan terbabit, yang terlibat dalam pembelian dua kapal selam kelas Scorpene Perancis oleh Kementerian Pertahanan semasa Najib menjadi menteri pertahanan.

Bagaimanapun, Najib menegaskan dia tidak mengetahui hubungan Abdul Razak dengan Altantuya sehinggalah ia muncul di media.

Perbicaraan ditetapkan untuk disambung semula pada 30 Jun tahun depan di hadapan hakim Khadijah Idris.

Turut hadir di mahkamah ialah peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas, dan Ambiga Sreenevasan bagi pihak penerbit buku itu, GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd, selaku defendan kedua.

Pada 2021, Najib, 71, memfailkan saman fitnah terhadap Thomas dan penerbit buku dengan dakwaan ia secara palsu mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya.

Najib mendakwa bab 42 dan bahagian lain buku itu menyindir beliau sebagai pihak yang mengarahkan Altantuya dibunuh oleh anggota Unit Tindakan Khas PDRM, Azilah dan Sirul Azhar Umar dan mengelirukan orang ramai bagi menutup jenayah itu.

Najib memohon agar kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu dikeluarkan, diberikan injunksi untuk menghalang penerbitan lanjut tuntutan sedemikian, dan permohonan maaf daripada kedua-dua defendan.

Dia juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, bersama-sama dengan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here